KUALA LUMPUR 17 Okt – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan melantik penilai bebas susulan insiden gangguan terbaharu sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurutnya, pihak tersebut bakal menilai semula reka bentuk bekalan tenaga dan kualiti pemasangan bagi memastikan kejadian kali ke-20 pada lewat 15 Oktober 2025 itu tidak lagi berulang selepas ini.
Gangguan terkini itu kata MAHB, amat mengecewakan memandangkan sistem Aerotrain sudah pun melalui proses pengujian, pentauliahan dan pensijilan yang ketat sebelum pelancarannya pada 1 Julai 2025.
“Punca sebenar masih dalam siasatan. Kontraktor akan mengeluarkan kenyataan teknikal terperinci dalam masa terdekat,” jelasnya sebagai merujuk insiden yang berlaku pada pukul 8.30 malam itu.
MAHB sudah mengadakan mesyuarat teknikal tergempar bersama pihak pengurusan tertinggi kontraktor projek, Alstom SA dari Perancis, serta usaha sama IJM Corp Bhd dan Pestec International Berhad.
Syarikat-syarikat berkenaan tambahnya, bertanggungjawab terhadap aspek reka bentuk dan pemasangan sistem agihan bekalan tenaga elektrik untuk Aerotrain yang beroperasi di Terminal 1 KLIA.
Sebagai langkah segera, MAHB turut melaksanakan pemeriksaan tambahan seperti imbasan termografik dan ujian diagnostik yang lain bagi mengesahkan tahap keselamatan serta integriti sistem.
Artikel berkaitan: MAHB akan dikenakan tindakan susulan kegagalan berulang sistem Aerotrain KLIA - Anthony Loke

“Kami akan terus memantau kerja-kerja pembaikan yang dijalankan oleh pihak kontraktor, termasuk melaksanakan semakan semula terhadap proses pentauliahan terdahulu,” jelas MAHB.
Kedua-dua tren namun dapat beroperasi semula secara normal selepas ujian keselamatan dan operasi dijalankan, dengan satu tren berjaya dipulihkan pada pukul 9.27 malam.
Bas ulang-alik turut disediakan sepanjang tempoh gangguan bagi memindahkan penumpang antara terminal utama dan bangunan satelit. MAHB mengesahkan tiada penumpang terlepas penerbangan.
Ia turut menjelaskan yang gangguan berlaku dalam tempoh liabiliti kecacatan, iaitu tempoh apabila kontraktor masih bertanggungjawab membaiki sebarang kerosakan sistem.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan di Parlimen semalam yang Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap MAHB.
Langkah tersebut berikutan kegagalan secara berulang mengekalkan tahap perkhidmatan yang memuaskan dalam tempoh empat bulan selepas pelancaran semula sistem tren berkenaan.
“Sebagai pemegang lesen operasi, MAHB boleh dikenakan hukuman denda sekiranya syarikat ini gagal memastikan standard perkhidmatan dapat dipatuhi,” kata beliau.
Perkhidmatan Aerotrain yang berusia 25 tahun itu digantung lebih dua tahun sejak Mac 2023 bagi kerja pembaharuan menyeluruh sebelum disambung semula pada 1 Julai 2025. - DagangNews.com








