MAHB akan dikenakan tindakan susulan kegagalan berulang sistem Aerotrain KLIA - Anthony Loke | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB akan dikenakan tindakan susulan kegagalan berulang sistem Aerotrain KLIA - Anthony Loke

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Okt – Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) susulan beberapa kegagalan teknikal berulang ymelibatkan sistem aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, tindakan akan diambil melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selaku badan kawal selia bagi semua sistem rel.

 

Katanya, APAD mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap MAHB meskipun syarikat tersebut adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

 

“Walaupun MAHB adalah syarikat berkaitan kerajaan, ia tetap tertakluk kepada peraturan pelesenan kami. Oleh itu, melalui APAD, kami boleh mengambil tindakan termasuk mengenakan denda sekiranya MAHB gagal memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada penumpang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN–Setiu) yang meminta penjelasan mengenai langkah akauntabiliti terhadap kontraktor dan pengurusan lapangan terbang ekoran kegagalan berulang sistem aerotrain KLIA serta sama ada audit forensik telah dijalankan untuk mengenal pasti punca kelemahan.

 

Sejak perkhidmatan disambung semula pada 1 Julai 2025, sistem aerotrain dilaporkan mengalami 20 insiden gangguan, termasuk satu kejadian yang berlaku pada malam Rabu.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, sebelum ini memaklumkan gangguan tersebut berpunca daripada isu teknikal seperti kerosakan sistem isyarat, serta kesilapan manusia, termasuk percubaan penumpang membuka pintu tren secara manual.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Operasi Aerotrain KLIA: 19 kali rosak, kini kembali lancar dengan kestabilan 100%, Parlimen diberitahu

 

Loke menambah, tindakan tersebut akan dibincangkan lanjut di peringkat kementerian bagi menentukan langkah kawal selia yang sesuai.

 

Mengenai aspek kewangan, Loke menegaskan projek aerotrain dibiayai sepenuhnya oleh MAHB dan tidak melibatkan peruntukan kerajaan daripada Kementerian Pengangkutan.

 

“Terdapat kekeliruan sebelum ini — projek aerotrain ini tidak dibiayai oleh kerajaan. Keseluruhan kos ditanggung oleh MAHB sebagai pengendali lapangan terbang di bawah konsesi mereka. Tiada satu sen pun datang daripada bajet kementerian,” jelas beliau.

 

Tambah Loke, sejak operasi disambung semula tiga bulan lalu, sistem aerotrain telah membawa sekitar lima juta penumpang, dengan kadar ketersediaan perkhidmatan pada tahap 99 peratus.

 

“Namun begitu, satu gangguan pun tidak boleh diterima. MAHB dan kontraktornya mesti berusaha memastikan tiada sebarang kerosakan atau gangguan berlaku,” tegas beliau. - DagangNews.com