Operasi Aerotrain KLIA: 19 kali rosak, kini kembali lancar dengan kestabilan 100%, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Operasi Aerotrain KLIA: 19 kali rosak, kini kembali lancar dengan kestabilan 100%, Parlimen diberitahu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Okt – Sebanyak 19 insiden gangguan dilaporkan berlaku terhadap sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari tempoh 2 Julai hingga 30 September lalu.

 


Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, antara punca insiden tersebut adalah berkaitan isu teknikal isyarat dan semboyan serta perbuatan penumpang.

 

“Ada antara penumpang yang buka pintu secara paksa dan ada juga disebabkan isu teknikal.

 

 

 

 

 

 

 

“Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bekerjasama rapat dengan pengeluar tren, Alstom, bagi memastikan sistem beroperasi dengan lancar serta memberi tindak balas teknikal pantas apabila berlaku sebarang gangguan.

 

“Kini, Aerotrain sudah beroperasi sepenuhnya pada tahap optimum dengan tahap ketersediaan 100%,” katanya ketika menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang ingin tahu insiden gangguan Aerotrain yang berlaku dan mekanisme pampasan terhadap pengeluar di Dewan Rakyat hari ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

Ketika ini, Aerotrain berada dalam tempoh liabiliti kecacatan selama dua tahun.

 

Mengulas lanjut, Hasbi berkata, sebagai langkah tambahan, pegawai teknikal ditempatkan di dalam tren bagi menangani sebarang masalah dengan segera.

 

Katanya, Alstom boleh dikenakan denda sehingga RM190,000 sebulan sekiranya gagal memenuhi piawaian prestasi yang ditetapkan. 

 

Syarikat pengeluar itu perlu mengekalkan ketersediaan tren 100% bagi operasi satu tren dan 99.6% untuk dua tren.

 

“Setakat ini, prestasi operasi Aerotrain berada pada tahap 100% dan MAHB akan terus bekerjasama dengan Alstom bagi memastikan perkhidmatan berjalan lancar serta mengekalkan standard operasi tertinggi di KLIA,” katanya.

 

Aerotrain kini beroperasi dengan tahap ketersediaan 100% sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sekali gus menunjukkan kestabilan penuh selepas kerja-kerja naik taraf utama selesai pada 30 Jun.

 

Aerotrain mencapai tahap ketersediaan 100% bagi minggu ke-13 (28 September hingga 3 Oktober) dan minggu ke-14 (5 hingga 10 Oktober).

 

Tren itu telah membawa 5.33 juta penumpang dan bergerak lebih 39,900 kilometer sejak mula beroperasi 1 Julai lalu. - DagangNews.com