KUALA LUMPUR 21 Okt – Mah Sing Group Bhd terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu pemaju hartanah terkemuka negara apabila meraih dua pengiktirafan berprestij pada tahun ini.
Dua pengiktirafan itu ialah Anugerah ‘Top of the Chart’ (Modal Pasaran RM1 bilion ke atas) untuk tahun keempat berturut-turut di Malaysia Developer Awards 2025, serta Anugerah Perak bagi kecemerlangan dalam strategi tanggungjawab sosial korporat (CSR) di HR Excellence Awards 2025.
Kedua-dua pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan Mah Sing terhadap kecemerlangan dalam prestasi perniagaan dan impak positif kepada masyarakat.
Anugerah ‘Top of the Chart’ (Modal Pasaran RM1 bilion ke atas) menonjolkan prestasi kewangan konsisten, inovasi reka bentuk dan reputasi kukuh jenama Mah Sing dalam landskap hartanah Malaysia yang kompetitif.
Malaysia Developer Awards dianjurkan oleh Star Media Group dengan kerjasama FIABCI Malaysia bagi mengiktiraf pemaju yang menunjukkan prestasi pasaran cemerlang, inovasi produk, serta komitmen terhadap kualiti dan kelestarian.

Pengasas merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pihaknya amat berbesar hati menerima pengiktirafan itu untuk tahun ke-4 berturut-turut yang mencerminkan dedikasi pasukan dan kepercayaan pelanggan terhadap jenama Mah Sing.
“Anugerah ini melambangkan keyakinan bahawa pembangunan hebat bermula dengan satu tujuan iaitu untuk memperbaiki kehidupan dan memperkukuh komuniti.
“Ketika kami terus berkembang, tumpuan Mah Sing kekal kepada pembangunan mampan, rumah mampu milik dan berkualiti di lokasi strategik di seluruh negara.
“Kami akan terus berinovasi bagi memastikan produk kami memenuhi aspirasi gaya hidup semasa sambil menyumbang secara positif kepada landskap hartanah Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Dengan pengalaman lebih tiga dekad, Mah Sing membina reputasi sebagai pemaju hartanah dengan portfolio lebih 60 projek dan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM63.2 bilion setakat suku kedua 2025.

Kumpulan itu sudah menyerahkan lebih 60,000 unit kediaman di seluruh negara, manakala siri pembangunan M Series kekal sebagai tonggak utama kejayaan syarikat dengan menawarkan kediaman strategik, berharga mampu milik dan direka secara efisien untuk pasaran yang lebih luas.
Selain kejayaan dalam pembangunan hartanah, Mah Sing turut diiktiraf atas impak sosialnya apabila menerima Anugerah Perak bagi Kecemerlangan dalam Strategi CSR di HR Excellence Awards 2025, kemenangan dua tahun berturut-turut dalam kategori tersebut.
Melalui Mah Sing Foundation (MSF), kumpulan itu melaksanakan strategi CSR yang memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan, serta pembangunan komuniti.
Pada 2024, MSF menyalurkan sumbangan berjumlah RM2.61 juta yang memberi manfaat kepada lebih 85 sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti, melibatkan lebih 14,000 individu di seluruh negara.
Inisiatif utama seperti MSF School+, MSF Community+ dan MSF Life+ meningkatkan literasi kanak-kanak, memperkukuh kesihatan mental keluarga, memperluas peluang ekonomi melalui keusahawanan wanita dan latihan kemahiran, serta menambah baik kehidupan komuniti luar bandar dengan menyediakan akses kepada air bersih dan pertanian mampan.
Dalam usaha memperkukuh agenda kelestarian, Mah Sing turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pemasangan 17 stesen pengecas kenderaan elektrik di lima projek, memperoleh pensijilan GreenRE dan menanam 2,787 pokok di beberapa lokasi pembangunan.
Kumpulan itu kini sedang membangunkan Peta Jalan Dekarbonisasi di peringkat syarikat selepas memetakan pelepasan gas rumah hijau (GHG) bagi Skop 1 dan Skop 2, serta menetapkan sasaran pengurangan untuk mencapai matlamat kelestarian jangka panjang.
“Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini untuk tahun kedua berturut-turut. Bagi Mah Sing, CSR bukan sekadar memberi kembali kepada masyarakat, tetapi juga tentang mencipta perubahan positif yang berkekalan.
“Melalui Mah Sing Foundation dan inisiatif kelestarian ini, kami akan terus memperkasa komuniti serta menyumbang ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan untuk semua,” katanya. - DagangNews.com








