KUALA LUMPUR 16 Feb – Jualan dan pengeluaran sektor automotif diramal sederhana pada Februari 2026 berikutan bilangan hari bekerja yang lebih pendek, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Dalam laporannya, ia mengambil pendekatan berhati-hati memandangkan Februari hanya ada 17 hari bekerja, sekali gus dijangka menjejaskan jumlah jualan dan pengeluaran kenderaan bagi bulan berkenaan.
Bagaimanapun jelas organisasi tersebut, prestasi Januari 2026 mencatat pertumbuhan kukuh tahun ke tahun (YoY), didorong kesan daripada 'limpahan' pelancaran banyak model baharu pada hujung 2025.
"Jualan kenderaan penumpang naik 28.4% kepada 60,369 unit berbanding 47,019 unit pada Januari 2025, dan jenis komersial bertambah 14.6% kepada 3,929 unit daripada 3,430 unit setahun lalu," kata MAA.
Dari segi pengeluaran, kenderaan penumpang meningkat 5.6% kepada 57,357 unit berbanding 54,345 unit pada Januari 2025, manakala kenderaan komersial naik 12.7% kepada 3,499 unit daripada 3,105 unit.
Ia menyatakan, secara bulan ke bulan, jumlah keseluruhan industri namun susut 29% pada Januari 2026 berbanding Disember 2025 yang merekodkan jualan tertinggi pernah dicapai sebanyak 90,716 unit.
MAA menjelaskan penurunan itu sebahagian besarnya berpunca daripada lonjakan pembelian awal pada Disember tahun lepas berikutan aktviti promosi aktif hujung tahun dan musim cuti persekolahan.
"Bagi tahun penuh 2025, jumlah volum industri (TIV) mencapai paras paling tinggi sepanjang masa iaitu sebanyak 820,752 unit, menandakan pertumbuhan selama empat tahun secara berturut-turut.
Namun begitu, ia tidak meramalkan momentum tersebut akan dapat berterusan pada 2026 dan mengunjurkan jualan lebih rendah sekitar 790,000 unit sepanjang tahun ini. - DagangNews.com








