LPI Capital catat untung bersih RM367.8 juta pada FY2025, umum dividen 50 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LPI Capital catat untung bersih RM367.8 juta pada FY2025, umum dividen 50 sen

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Feb – Untung bersih LPI Capital Bhd menyusut kepada RM367.78 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025) berbanding RM377.09 pada tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LCI Capital berkata, jumlah hasil yang diperolehi pada FY25 meningkat kepada RM2.11 bilion berbanding RM1.92 bilion pada FY24 didorong oleh pertumbuhan dalam segmen insurans am.

 

“Pada suku keempat FY2025 pula, keuntungan sebelum cukai syarikat turun 4.5% kepada RM91.5 juta daripada RM95.8 juta pada 4QFY24, disebabkan hasil perkhidmatan insurans am yang lebih rendah.

 

“Keuntungan bersih LCI Capital berkurangan kepada RM71.8 juta pada 4QFY25 berbanding RM73.86 juta pada tempoh sama sebelumnya,” kata syarikat tersebut.

 

Lonpac Insurance Bhd, anak syarikat milik penuh LPI pula mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM92.9 juta bagi suku keempat FY2025, menurun 3.9% berbanding tahun sebelumnya. 

 

Jumlah premium yang diterima meningkat kepada RM462 juta, namun hasil perkhidmatan insurans menurun disebabkan peningkatan kos tuntutan terutama bagi insurans kebakaran dan kenderaan.


Lonpac merekodkan PBT RM419.1 juta dengan premium kasar RM2.01 bilion, walaupun pengalaman tuntutan yang kurang menggalakkan meningkatkan combined ratio kepada 75.9%.

 

LPI Capital mengekalkan komitmen kepada pemegang saham dengan mengumumkan dividen interim kedua 50 sen sesaham, menjadikan jumlah pembayaran dividen FY2025 berjumlah RM318.7 juta atau 86.7% daripada keuntungan bersih.

 

Bagi 2026, syarikat menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih perlahan tetapi permintaan insurans am dijangka kekal sihat. 

 

LPI Capital berkata ia akan terus menumpukan kepada teknologi dan kecerdasan buatan bagi meningkatkan model penetapan harga insurans dan pengurusan risiko bencana, serta memperluas saluran pengedaran melalui kerjasama dengan Public Bank Group dan pengembangan rangkaian ejennya. - DagangNews.com