Lotte Chemical Titan terus catat rugi besar disebabkan projek LINE di Indonesia, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lotte Chemical Titan terus catat rugi besar disebabkan projek LINE di Indonesia, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 NovLotte Chemical Titan Holding Berhad masih terus bergelut dengan kerugian berpanjangan apabila keputusan suku ketiga tahun kewangan 2025 menunjukkan kemerosotan. 


Dua firma penyelidikan menyifatkan kerugian bersih melebihi RM120 juta, menandakan penyusutan prestasi yang dijangka berlarutan susulan pelaksanaan projek baharu syarikat berkenaan di Indonesia.


Menurut analisis mereka, pelancaran komersial projek Lotte Indonesia New Ethylene (LINE) pada Oktober 2025 bakal menambah lagi beban kewangan dan menekan margin keuntungan kumpulan.


Maybank Investment Bank berkata, kerugian bersih teras Lotte Chemical Titan pada 3Q25, menjadikan jumlah kumulatif pada sembilan bulan pertama FY25 kepada RM429.9 juta, sejajar dengan jangkaan.


"Ini masih menunjukkan trend negatif berterusan, dan syarikat itu kini menanggung kerugian kasar bagi setiap unit jualan akibat harga produk lemah sekurang-kurangnya 12 bulan lagi," katanya dalam nota.


Pelaksanaan projek LINE di Indonesia, yang mencapai tarikh operasi komersial (COD) pada 15 Oktober 2025, walaupun menjadi pencapaian penting, bakal meningkatkan tekanan ke atas pendapatan kumpulan.


Perkembangan tersebut jelas Maybank IB, disebabkan Lotte Chemical Titan dijangka mula mengiktiraf susut nilai tahunan sekitar RM700 juta, di samping masalah pasaran olefin yang masih lagi lemah.


Susulan itu, firma tersebut menurunkan unjuran kerugian bersih teras FY25 hingga FY27 sebanyak 23% dengan menurunkan harga sasaran (TP) kepada 35 sen sesaham, dan masih mengekalkan saranan 'jual'.


“Dengan keadaan pasaran semasa dan harga olefin rendah, mencapai tahap pulang modal mungkin sukar dalam masa terdekat. Kami menjangka kerugian bersih melebar pada FY26 hingga FY27,” katanya.

 

Artikel berkaitan: Lotte Chemical Titan catat hasil RM2.44 bilion bagi 3QFY25

 

Sementara itu, CGS International (CGSI) turut mengekalkan pandangan berhati-hati dengan saranan 'kurang' dan TP 38 sen, sambil menegaskan kerugian berpanjangan mengancam kelangsungan operasi


Firma tersebut melaporkan yang kerugian bersih dicatatkan Lotte Chemical Titan pada 3Q25, sedikit lebih baik berbanding 2Q25, namun masih menandakan selama 14 suku berturut-turut dalam kerugian.


Punca utama itu tambahnya, disebabkan kelebihan kapasiti global akibat pertambahan loji di China sejak 2020, menyebabkan penyebaran harga polimer–nafta berada di paras terendah dalam sejarah.


"Kadar penggunaan kilang pula didapati susut kepada 50% pada 9M25 berbanding 84% pada 2021 dengan syarikat berkenaan terpaksa menutup sementara satu daripada dua lojinya di Johor," jelas CGSI.


Bagaimanapun, langkah rasionalisasi kapasiti itu gagal mengekang kerugian sepanjang tempoh itu dan firma itu menjangka kerugian akan meningkat ketara pada 4Q25 apabila mula merekodkan susut nilai.


Ini katanya, termasuk perbelanjaan faedah kira-kira RM723 juta bagi projek LINE bernilai AS$2.4 bilion (RM10.09 bilion), di samping tunggakan hutang projek berjumlah AS$180 juta (RM757 juta).


Ia kata CGSI, perlu dibayar pada tahun kewangan 2026, dan bakal menambah tekanan terhadap kecairan tunai kumpulan, dengan baki modal kerja hanya sekitar RM947 juta setakat 30 September 2025.


“Jika Lotte Chemical Titan masih lagi gagal menambah pembiayaan bagi penyelesaian hutang tersebut, risiko terhadap kelangsungan operasi syarikat akan mungkin meningkat lagi,” jelas firma berkenaan.


Justeru tambahnya, potensi naik harga saham hanya akan berlaku sekiranya syarikat berjaya menjual atau melaksanakan pengewangan aset LINE kepada pembeli strategik. - DagangNews.com