KUALA LUMPUR 3 Nov – Lotte Chemical Titan Holding Berhad (LCT) mencatat peningkatan hasil sebanyak 26% kepada RM2.44 bilion bagi suku ketiga 2025 berbanding RM1.95 bilion pada tempoh sama tahun 2024.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, peningkatan tersebut dipacu oleh Projek LOTTE Chemical Indonesia New Ethylene (LINE) yang berada dalam fasa pentauliahan semasa suku ketiga.
“Purata kadar penggunaan kilang LCT di Malaysia adalah 50%, sedikit menurun daripada 58% pada Q3 2024, tidak termasuk projek LINE yang belum memulakan operasi komersial.
“Kerugian sebelum cukai syarikat berkurangan separuh kepada RM191 juta berbanding RM378 juta pada suku ketiga 2024.
“Ini disebabkan kerugian yang berkurangan daripada syarikat sekutu LOTTE Chemical USA Corp (LC USA) dan pengurangan perbelanjaan susut nilai,” kata syarikat itu.
Secara kumulatif, hasil LCT bagi 2025 menurun kepada RM5.37 bilion berbanding 2024 akibat jumlah jualan dan harga jualan purata yang lebih rendah dari operasi Malaysia, walaupun disokong oleh sumbangan jualan dari Projek LINE.
Kerugian sebelum cukai turut berkurangan daripada RM924 juta pada 2024 kepada RM517 juta pada 2025.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif LCT, Jang Seon Pyo berkata, pihaknya menjangkakan persekitaran perniagaan global akan kekal tidak menentu dalam masa terdekat.
Beliau berkata, ketegangan geopolitik yang berterusan seperti perang Rusia-Ukraine dan kekacauan di Timur Tengah, terus memberi tekanan kepada sentimen pasaran.
“Cukai timbal balik AS yang diperkenalkan pada pertengahan 2025, bersama langkah perdagangan lain, mengubah aliran perdagangan global dan menimbulkan ketidakpastian dalam sektor petrokimia.
“Di peringkat serantau, lebihan bekalan produk dan permintaan hiliran dijangka berterusan, mengekalkan tekanan ke atas harga jualan purata dan margin.
“Walaupun menghadapi cabaran ini, kami komited untuk mengekalkan kedudukan kami dalam pasaran serantau utama, terutamanya di Malaysia, Indonesia, dan seluruh Asia Tenggara.
“Dengan ramalan berhemah terhadap pertumbuhan KDNK serantau dan kadar operasi yang berhati-hati, kami akan berdepan cabaran pasaran semasa dengan penuh berhati-hati,” katanya.
Tambahnya, projek LOTTE Chemical Indonesia New Ethylene (LINE) di Merak, Indonesia telah memulakan operasi komersial pada 15 Oktober 2025.
“Pihak pengurusan akan terus memantau dinamik pasaran dengan rapat dan memberikan kemas kini mengenai perkembangan projek tersebut dari semasa ke semasa,” katanya.
Lotte Chemical Titan merupakan pengeluar poliolefin bersepadu terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara dengan operasi di Malaysia dan Indonesia serta pegangan 40% dalam LOTTE Chemical USA di Houston, Texas. - DagangNews.com








