KUALA LUMPUR 24 April — Lotte Chemical Titan Holding Berhad mencatatkan peningkatan kerugian bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25) yang mencecah RM2.7 bilion.
Prestasi lemah tersebut disebabkan terutamanya oleh kos operasi yang lebih tinggi daripada projek Lotte Indonesia New Ethylene (LINE) di Indonesia serta kemerosotan nilai aset kumpulan tersebut.
Antaranya jelas syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, melibatkan hartanah, loji dan peralatan, serta mampatan margin akibat lebihan bekalan petrokimia global, dan kos susut nilai.
"Meskipun berdepan cabaran, hasil kumpulan ini melonjak sebanyak 7 peratus kepada RM7.9 bilion berbanding RM7.4 bilion juta pada tahun kewangan sebelumnya (FY24)," jelas Lotte Chemical Titan.
Peningkatan pendapatan tersebut ujar kumpulan petrokimia berkenaan, dipacu oleh sumbangan jualan daripada projek LINE yang sudah berjaya memulakan operasi komersial pada 15 Oktober 2025.
Persekitaran industri namun terus ditekan isu ketidakseimbangan bekalan dan permintaan, dengan ia mengalami kerugian sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (LBITDA) iaitu RM1.8 bilion.

Selain mampatan margin tambah Lotte Chemical Titan, kerugian tersebut turut dibebankan lagi oleh pelaksanaan hapus kira inventori yang lebih tinggi kepada nilai bersih boleh direalisasikan.
Sementara itu Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahman Mamat menyifatkan prestasi industri dipengaruhi oleh lebihan bekalan secara berterusan, terutamanya dari kapasiti baharu di China dan Asia Timur.
"Ketidaktentuan geopolitik di rantau Timur Tengah serta pengenalan tarif baharu oleh Amerika Syarikat (AS) sudah menambah volatiliti kepada kos bahan mentah dan permintaan produk," katanya.
Bagi menangani keadaan pasaran yang lemah, pihak pengurusan bertindak melaraskan kadar operasi loji kepada purata kira-kira 52% untuk menyelaraskan pengeluaran dengan permintaan semasa.
Melangkah ke hadapan, Lotte Chemical Titan ujar beliau akan terus memberikan tumpuan kepada daya tahan kewangan dan pengurusan kos yang ketat untuk mengharungi kitaran menurun industri ini.
Syarikat berkenaan juga kekal komited untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan berada pada kedudukan yang sedia pulih apabila keadaan pasaran bertambah baik kelak. - DagangNews.com








