KUALA LUMPUR 6 Mac – Lebih 60% pengeksport Malaysia menjangkakan operasi perniagaan mereka akan terjejas susulan konflik di Timur Tengah, terutamanya akibat kelewatan penghantaran serta peningkatan kos perkapalan dan insurans, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Dalam kenyataan hari ini, perbadanan itu berkata, dapatan tersebut diperoleh daripada tinjauan mengenai impak di peringkat operasi perniagaan yang melibatkan 53.7% perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), 32.7% syarikat pertengahan (mid-tier) dan 13.6% syarikat multinasional.
Hasil awal tinjauan mendapati perniagaan menjangkakan berlaku penurunan jualan, pembatalan pesanan, serta peningkatan kos bahan mentah, khususnya bagi produk plastik yang berkait rapat dengan harga minyak mentah.
Kira-kira 39% responden mengeksport ke rantau tersebut, terutamanya ke Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi, manakala sebahagian daripada mereka kini sedang mempertimbangkan untuk mempelbagaikan pasaran eksport ke destinasi lain.
Dalam kenyataan hari ini, Matrade berkata ia telah menggerakkan pejabatnya di Dubai, Jeddah dan Cairo bagi menyediakan kemas kini pasaran, penyelarasan serta sokongan kepada pengeksport Malaysia susulan gangguan maritim semasa.
Matrade turut menasihatkan pengeksport supaya mengubah laluan penghantaran melalui pelabuhan serantau yang lebih selamat, memandangkan ketegangan yang menjejaskan laluan perkapalan utama termasuk Selat Hormuz.
Agensi itu berkata pengeksport boleh mempertimbangkan laluan logistik alternatif termasuk Port of Fujairah di United Arab Emirates dan Port of Salalah di Oman, selain meneroka pilihan pengangkutan darat sekiranya bersesuaian.
Beralih Daripada Laluan Tradisional
Pengerusi Matrade, Reezal Merican Naina Merican berkata maklum balas daripada soal selidik tersebut menunjukkan keperluan mendesak bagi pengeksport untuk beralih daripada laluan perdagangan tradisional kepada pendekatan yang lebih berdaya tahan.
“Maklum balas yang diperoleh daripada soal selidik pengeksport baru-baru ini menekankan keperluan mendesak untuk beralih daripada laluan perdagangan tradisional kepada pendekatan yang lebih berdaya tahan dan strategik,” katanya.
Konflik di Timur Tengah yang kini memasuki hari keenam telah meningkatkan risiko gangguan maritim yang lebih meluas di sepanjang koridor perkapalan utama di rantau Teluk.
Menurut Reezal, gangguan atau penutupan sementara laluan strategik seperti Selat Hormuz sedang menguji keupayaan penyesuaian pengeksport dan rangkaian logistik Malaysia.
Dalam pada itu, Matrade turut mencadangkan supaya misi perdagangan fizikal di kawasan berisiko tinggi digantikan dengan sesi padanan perniagaan secara maya melalui platform ‘Virtual eBizMatch’.
“Pada masa yang sama, kami mempercepatkan penyelarasan semula pasaran intra-ASEAN sebagai teras utama strategi mitigasi kami,” katanya.
Beliau berkata langkah itu dilaksanakan dengan memanfaatkan integrasi serantau yang lebih mendalam di bawah rangka kerja Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) serta meningkatkan penggunaan ASEAN Trade in Goods Agreement (ATIGA).
Pendekatan tersebut membolehkan pengeksport Malaysia mengalihkan aliran perdagangan ke pasaran yang lebih dekat secara geografi dan lebih stabil dari segi ekonomi.
Perlindungan Insurans
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Abu Bakar Yusof berkata agensi itu juga menggalakkan pengeksport berurusan dengan institusi kewangan bagi mendapatkan perlindungan insurans terhadap risiko seperti peninggalan kargo serta peningkatan premium insurans risiko perang.
“Walaupun kami menjangkakan tekanan terhadap operasi, kami sedang memposisikan Malaysia sebagai pembekal alternatif yang boleh dipercayai kepada rakan dagang yang ingin mempelbagaikan sumber bekalan mereka,” katanya. - DagangNews.com








