KUALA LUMPUR 24 Okt - Sektor sarung tangan Malaysia dijangka terus berdepan tekanan keuntungan sekurang-kurangnya sehingga tahun 2028 berikutan lebihan bekalan global yang berpanjangan serta peningkatan kos tetap seperti penggunaan tenaga dan buruh.
CGS International berkata, margin keuntungan operasi pengeluar sarung tangan Malaysia dianggarkan sekitar AS$0.5 bagi setiap 1,000 keping pada 2024 – jauh lebih rendah berbanding paras sebelum pandemik iaitu AS$3 bagi setiap 1,000 keping.
"Lambakan bekalan baharu, terutamanya daripada pengeluar China yang menambah kapasiti di luar negara untuk mengelak tarif Amerika Syarikat (AS) dijangka menambah sehingga 84 bilion keping atau 17.2% kepada bekalan global menjelang 2027, sekali gus mengekang pemulihan margin pasaran," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, pengeluar tempatan kini kehilangan kelebihan kos yang pernah dinikmati sebelum ini.
Katanya, pada 2017, kos pengeluaran sarung tangan Malaysia 17.7% lebih murah berbanding China, namun pada 2024, kos Malaysia kini 7.5% lebih tinggi.
"Kenaikan kos ini berpunca daripada penghapusan subsidi tenaga dan peningkatan gaji pekerja tempatan, menjadikan syarikat Malaysia sebagai penentu margin terendah dalam pasaran," katanya.
CGS International berkata, antara syarikat utama, Top Glove dilihat memiliki struktur kos yang hampir setara dengan pesaing China, manakala Hartalega dan Kossan dijangka menyusul menjelang tahun 2027.
Susulan jangkaan lebihan bekalan berterusan, firma penyelidikan itu mengunjurkan keuntungan bersih teras sektor sarung tangan dikurangkan sebanyak 12% bagi tahun ini, 11% bagi 2026 dan 11% pada 2027.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "underweight" terhadap sektor sarung tangan.
Bagaimanapun, ia berkata, terdapat beberapa perkara positif yang boleh menyokong sektor itu, termasuk kemungkinan gelombang pandemik baharu, penutupan kapasiti lama secara besar-besaran, penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS, dan perubahan tarif global yang memihak kepada pengeluar Malaysia.- DagangNews.com








