Kurang penyertaan projek pusat data tekan margin untung bersih Binastra pada 2QFY26 – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kurang penyertaan projek pusat data tekan margin untung bersih Binastra pada 2QFY26 – RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Sept – Penyertaan Binastra Corporation Berhad yang rendah dalam projek pusat data (DC) kini mula menunjukkan impaknya ke atas margin keuntungan syarikat, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan itu berkata, margin keuntungan bersih teras (NPM) bagi tempoh suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26) didapati menyusut kepada 7.2%, berbanding sebanyak 9.9% setahun lalu.


Penurunan ini katanya, bukan berpunca daripada kelemahan operasi, sebaliknya disebabkan sifat projek pembangunan DC yang secara semula jadi menawarkan margin lebih rendah sekitar 6% hingga 7%.


"Keadaan adalah berbeza untuk pelbagai projek pembinaan lain, namun kami tetap positif terhadap prospek Binastra dan dikekalkan saranan 'beli' ke atas sahamnya," kata RHB Research dalam notanya.


Selain itu jelas firma tersebut, harga sasaran kumpulan ini diunjur tidak berubah kepada RM2.64 sesaham, dengan jangkaan syarikat berkenaan menawarkan potensi kenaikan 35% dari paras semasa.


Di sebalik tekanan margin, prestasi kewangan Binastra kekal memberangsangkan dengan keuntungan teras bagi 1HFY26 melonjak 31% tahun ke tahun (YoY) kepada RM53.5 juta, yang sejajar unjuran.


Bagi suku kedua sahaja tambah RHB Research, keuntungan teras mencatat sebanyak RM28.4 juta, naik kira-kira 25% YoY, disokong oleh faktor peningkatan ketara dalam projek yang sedang dijalankan.

 

Artikel berkaitan: Untung bersih Binastra pada 2QFY26 naik 24.3% kepada RM28.4 juta, didorong 2 projek baharu


"Setakat 31 Julai 2025, buku tempahan kerja Binastra melonjak kepada RM4.4 bilion, berbanding RM2 bilion pada tempoh sama tahun lalu, mencerminkan lonjakan permintaan terhadap syarikat," katanya.


Binastra memperoleh RM1.6 bilion nilai kontrak baharu untuk tahun kewangan 2026, sekitar 40% daripada sasaran dalaman RHB sebanyak RM4 bilion dan baki dijangka dari pelbagai projek di Johor.


RHB Research berkata, ini termasuk Causewayz Square yang berpeluang meraih kontrak pembinaan utama bernilai RM1.4 bilion, selepas berjaya peroleh kerja cerucuk bernilai RM132 juta pada Ogos 2025.


Gabungan projek-projek ini jelas firma penyelidikan tersebut, berpotensi menyumbang lagi antara RM2.1 bilion sehingga RM2.2 bilion kepada nilai kontrak baharu kumpulan itu sehingga akhir FY26.


"Kami turut menjangka pertumbuhan pendapatan tahunan terkumpul (CAGR) selama empat tahun sebanyak 132% dari FY25 hingga FY28, seiring pertambahan nilai kontrak dan pelaksanaan projek," katanya.


Saham Binastra kini diniagakan 12.6 kali unjuran perolehan FY27, berbanding purata 16 kali ketika kitaran naik sektor pembinaan pada 2017, tetapi penilaian itu tidak mencerminkan potensi sebenar.


Pemangkin kenaikan katanya, termasuk kemungkinan penganugerahan kontrak untuk infrastruktur hijau, seperti projek solar menerusi seksyen tenaga boleh diperbaharui syarikat, Binastra Green Energy.


Bagaimanapun tambah RHB Research, di sebalik kedudukan kukuhnya, kelembapan dalam aliran masuk projek baharu kekal menjadi risiko utama terhadap unjuran pertumbuhan syarikat. - DagangNews.com