Untung bersih Binastra pada 2QFY26 naik 24.3% kepada RM28.4 juta, didorong 2 projek baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Binastra pada 2QFY26 naik 24.3% kepada RM28.4 juta, didorong 2 projek baharu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 SeptBinastra Corporation Berhad terus mencatatkan prestasi kewangan kukuh apabila melaporkan keuntungan bersih RM28.4 juta bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2025 (2QFY26).


Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 24.3% tahun ke tahun (YoY), dipacu oleh aktiviti pembinaan yang lebih tinggi serta pelancaran dua lagi projek baharu sepanjang tempoh tiga bulan tersebut.


Kumpulan pembinaan tersebut turut mencatatkan lonjakan hasil kira-kira 71.9% kepada RM396.8 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) pula didapati meningkat 23.3% kepada sebanyak RM37.6 juta.


"Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan semasa, hasil meningkat 59.2% kepada RM653.7 juta, dipacu kemajuan projek sedia ada dan buku tempahan kerja," maklum Binastra kepada Bursa Malaysia.


Sementara PBT serta untung selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) kumpulan berkenaan masing-masing meningkat sebanyak 29.7% dan 30.8% kepada kira-kira RM70.6 juta dan RM53.6 juta.


Seiring prestasi, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama 3.0 sen sesaham, dan pembayaran RM32.7 juta, atau 61.1% daripada PATAMI 1HFY26, mengatasi dasar dividen minimum 30%.


Sementara itu, Pengarah Urusan Binastra, Datuk Jackson Tan Kak Seng berkata, prestasi suku kedua ini adalah hasil dedikasi berterusan pasukan dan mencerminkan asas kukuh perniagaan syarikat.


“Kami kini memberi tumpuan kepada Johor Bahru menerusi projek berskala besar seperti EXSIM’s Kebun Teh, Causewayz Square @ JBCC dan The Address @ Taman Pelangi," katanya dalam satu kenyataan. 


Secara keseluruhannya tambah beliau, Binastra dijangka memainkan peranan aktif dalam usaha pembinaan kediaman yang membabitkan sejumlah lebih 11,000 unit rumah di seluruh negeri berkenaan.


Jackson turut memberi jaminan kumpulan tersebut akan terus mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dan membina saluran projek secara mampan bagi menjamin pertumbuhan dalam jangka panjang.


Setakat 31 Julai 2025, Binastra memiliki 25 projek yang berjalan dan buku tempahan kerja berjumlah RM4.4 bilion, memberikan kejelasan pendapatan kukuh untuk tempoh sehingga empat tahun kewangan.


"Sepanjang 2QFY26, syarikat memperoleh empat surat anugerah bernilai RM721.6 juta, terdiri dua kontrak bangunan utama dan dua kerja substruktur di Lembah Klang dan Johor Bahru," katanya lagi.


Keyakinan pelabur terhadap prospek Binastra turut meraih liputan positif enam firma penyelidikan, yang kesemuanya memberi syor 'beli', dengan harga sasaran antara RM2.40 hingga RM2.70 sesaham.


Binastra yang diasaskan pada 2 Oktober 2003 dan disenaraikan pada 16 Ogos 2004, merupakan syarikat induk pelaburan yang memiliki sepenuhnya Binastra Builders Sdn Bhd. - DagangNews.com