KUALA LUMPUR 16 Jun – KPJ Healthcare Berhad berhasrat melaksanakan pelan pengembangan kapasiti secara agresif dengan sasaran 6,000 katil menjelang tahun 2030, berbanding 4,000 katil ketika ini.
Menurut Presiden dan Pengarah Urusannya, Chin Keat Chyuan, strategi ini melibatkan pelaburan berbilion ringgit yang sudah diluluskan oleh Lembaga Pengarah untuk tempoh lima tahun akan datang.
Jelasnya, usaha ini merupakan sebahagian daripada transformasi besar-besaran syarikat beralih daripada hospital komuniti kepada penyedia penjagaan kesihatan tertiari dan kuaterneri terunggul.
"Langkah ini tidak mustahil kerana KPJ Healthcare mengendalikan 30 hospital di seluruh Malaysia dengan sokongan 1,491 perunding perubatan, dan menguruskan 3.3 juta pesakit setahun," jelasnya.

Keat Chyuan menyatakan keyakinan tersebut pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 kumpulan JCorp berkenaan di sini yang turut disertai oleh Pengerusinya, Tan Sri Dr Ismail Bakar.
Tambahnya, dengan penubuhan Pusat Kecemerlangan Neurosains dan Strok di Damansara Specialist Hospital 2, syarikat tersebut dilihat sedang memacu masa depan perubatan Malaysia ke tahap global.
Selain itu ujarnya, antara pencapaian unik yang menjadi daya tarikan utama KPJ ialah kedudukannya sebagai satu-satunya hospital di Malaysia menyertai jaringan Mayo Clinic Care Network (MCCN).
"Kerjasama ini membolehkan kumpulan ini dapat membawa amalan terbaik dan standard perubatan yang bertaraf global terus kepada pesakit tempatan tanpa perlu pergi ke luar negara," kata Keat Chyuan.

Jelasnya, melalui penglibatan dalam pendidikan dan penyelidikan bersama-sama universiti ternama seperti Universiti Melbourne dari Australia, kumpulan mampu menangani keperluan perubatan terkini.
Tambah beliau, KPJ turut memperkasakan rawatan multidisiplin dalam bidang kritikal seperti strok, jantung, paru-paru, ortopedik, dan onkologi yang lebih bersepadu berbanding hospital swasta lain.
Di samping itu, Keat Chyuan menyentuh pelaburan dalam sistem rekod perubatan elektronik (EMR) yang komprehensif serta dijangka siap menjelang 2027/2028 bagi menyepadukan data pesakit dan kewangan.
"KPJ University juga berjaya melahirkan hingga 500 jururawat setahun, sekali gus mencatatkan kadar pusing ganti antara terendah dalam industri perubatan global dan serantau," katanya. - DagangNews.com







