KUALA LUMPUR 16 Jun - Tanco Holdings Berhad (Tanco) menegaskan tiada sebarang perkembangan korporat yang belum didedahkan yang boleh dikaitkan dengan pergerakan luar biasa dagangan saham syarikat itu baru-baru ini, sambil memberi jaminan bahawa semua projek strategik dan operasi perniagaannya kekal berjalan seperti dirancang.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, ia telah memberikan maklum balas sewajarnya kepada pertanyaan Aktiviti Pasaran Luar Biasa (UMA) yang dikeluarkan oleh Bursa Malaysia Securities Berhad.
Menurut Tanco, semakan yang dibuat bersama Lembaga Pengarah dan pemegang saham utama mendapati syarikat tidak mengetahui sebarang perkembangan korporat yang belum diumumkan yang boleh menjelaskan corak dagangan saham tersebut.
"Tanco tidak membuat spekulasi terhadap pergerakan harga saham. Namun, kejatuhan harga saham yang berlaku secara pantas dan luar biasa baru-baru ini dilihat ganjil memandangkan semua perniagaan teras, projek utama dan kontrak syarikat kekal kukuh sebelum dan selepas berlakunya situasi tersebut," katanya.
Kumpulan itu turut menegaskan bahawa volatiliti pasaran tidak menjejaskan operasi perniagaan, komitmen kontrak mahupun hala tuju strategiknya.
Menurut syarikat, semua projek yang telah diumumkan termasuk pembangunan hartanah yang sedang dilaksanakan, Pelabuhan Kontena Pintar AI (Smart AI Container Port) dan Zon Bebas Port Dickson (Port Dickson Free Zone) di Negeri Sembilan masih diteruskan sepenuhnya.
"Semua inisiatif ini terus berkembang mengikut sasaran kawal selia, teknikal, pembiayaan dan komersial yang telah ditetapkan," katanya.
Tanco juga memberi jaminan kepada pembeli hartanah bahawa tiada sebarang pembatalan atau penggantungan projek pembangunan susulan aktiviti dagangan saham yang berlaku ketika ini.
Mengenai Pelabuhan Kontena Pintar AI, syarikat itu berkata projek berkenaan merupakan inisiatif infrastruktur jangka panjang yang diterajui sektor swasta dan kini sedang melalui pelbagai proses teknikal serta kelulusan kawal selia yang diperlukan.
Pada masa sama, Zon Bebas Port Dickson dilihat sebagai pembangunan pelengkap yang penting bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi logistik dan perindustrian Negeri Sembilan.
Sementara itu, berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan China Mobile International Limited baru-baru ini, Tanco berkata kerjasama tersebut masih berada pada peringkat penerokaan untuk menilai potensi pembangunan pusat data berkapasiti 50 megawatt (MW) di Port Dickson.
"Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, MoU tersebut tidak dijangka memberi sebarang impak kewangan material serta-merta kepada Kumpulan," katanya.
Tanco berkata, Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan akan terus memberi tumpuan kepada pematuhan pendedahan maklumat, kesinambungan operasi perniagaan serta usaha mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
Katanya, semua perkembangan korporat yang material akan terus diumumkan kepada pasaran secara tepat pada masanya melalui Bursa Malaysia Securities Berhad. - DagangNews.com







