KUALA LUMPUR 16 Jun – KPJ Healthcare Berhad melihat potensi pertumbuhan besar khasnya pelan perlindungan penjagaan kesihatan swasta yang ditawarkan menerusi dasar-dasar terbaharu kerajaan.
Presiden dan Pengarah Urusannya, Chin Keat Chyuan berkata, kumpulan itu turut memantau rapat prospek menerusi 18.1 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam isu inflasi perubatan.
Ujarnya, dengan pengenalan Akaun Sejahtera yang sebelum ini dikenali Akaun 3, pencarum boleh memanfaatkan dana itu melanggan pelbagai produk dan perkhidmatan kesihatan swasta dengan selesa.
"Kami melihat perkembangan ini membolehkan KPJ Healthcare memperluaskan capaian kepada golongan berpendapatan M40 dan B40 mendapatkan rawatan di luar sistem penjagaan kesihatan awam," katanya.

Keat Chyuan melahirkan keyakinan berkenaan pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 kumpulan JCorp itu di sini yang turut disertai oleh Pengerusinya, Tan Sri Dr Ismail Bakar.
Sehubungan itu, beliau menyatakan kesediaan kumpulan itu menghadapi pelaksanaan sistem rawatan 'Diagnosis-Related Group' (DRG) dengan melakukan perancangan senario secara mendalam sejak 2023.
Isu tersebut ujarnya, merupakan topik besar yang timbul ekoran lonjakan inflasi perubatan selepas wabak Covid-19 yang memberi impak kepada keseluruhan industri kesihatan swasta di Malaysia.
"Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sangat terbuka dan sentiasa melibatkan pihak industri sejak hari pertama lagi untuk melihat bagaimana isu ini boleh ditangani bersama," kata Keat Chyuan.

Beliau yang juga merupakan Naib Pengerusi Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menambah, pihaknya bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak untuk mencari jalan penyelesaian terbaik isu DRG.
KPJ Healthcare turut mengambil langkah proaktif dengan mengkaji varians kos merentasi rangkaian 30 hospitalnya sejak memulakan transformasi pada 2023, dalam menguruskan kos sebelum dimuktamadkan.
Ini ujar Keat Chyuan, menyediakan perancangan bagi senario kes terbaik, terburuk, dan asas dengan kumpulan itu berada dalam kedudukan terbaik menyokong usaha kerajaan memperluaskan akses rawatan.
"Sebelum pelaksanaan penuh DRG, kerajaan menggalakkan penggunaan produk berasaskan 'managed care' dan kami dipilih sebagai antara organisasi projek rintis bersama pembayar dikenal pasti," katanya.

Dalam pada itu, KPJ Healthcare menyasarkan sumbangan hasil daripada aktiviti pelancongan kesihatan meningkat kepada kira-kira 15 peratus menjelang 2030, berbanding hanya 6.2 peratus pada masa ini.
Lebih daripada 50 peratus pesakit warga asing kumpulan itu terdiri daripada warga Indonesia, manakala China dan Korea Selatan turut menjadi sasaran pasaran syarikat berkenaan di peringkat global.
Ditanya apakah jumlah pesakit Timur Tengah berkurangan susulan isu konflik di rantau tersebut, Keat Chuan berkata, data semasa menunjukkan tiada perubahan secara signifikan. - DagangNews.com







