Penyenaraian Elsa di Bursa Malaysia serlah potensi syarikat Bumiputera hasil inisiatif kerajaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penyenaraian Elsa di Bursa Malaysia serlah potensi syarikat Bumiputera hasil inisiatif kerajaan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Jun – Penampilan sulung Elsa Berhad di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini menjadi satu lagi bukti keupayaan syarikat Bumiputera menembusi pasaran modal negara melalui sektor teknologi bernilai tinggi.

 

Penyenaraian tersebut mencerminkan keyakinan berterusan terhadap syarikat tempatan yang mempunyai asas perniagaan kukuh, tadbir urus baik serta hala tuju pertumbuhan yang jelas.

 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penyenaraian Elsa menunjukkan syarikat Bumiputera kini semakin bersedia untuk memenuhi standard pasaran modal dari segi tadbir urus, ketelusan serta daya saing.

 

Beliau berkata, penyenaraian di Bursa Malaysia bukan sekadar mencapai matlamat pengumpulan dana, tetapi merupakan proses transformasi yang memerlukan disiplin kewangan serta pengurusan profesional.

 

“Penyenaraian Elsa bukan sekadar satu pencapaian korporat, tetapi membawa mesej penting bahawa syarikat Bumiputera kini bukan hanya mengambil bahagian dalam ekonomi, malah semakin bersedia untuk berkembang, bersaing dan menerajui sektor bernilai tinggi.

 

“Perkembangan itu adalah selari dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang menekankan pembangunan syarikat Bumiputera berprestasi tinggi dan berdaya saing,” katanya ketika berucap di majlis penyenaraian itu hari ini.

 

Elsa Contoh Kejayaan Syarikat Teknologi Dengan Asas Perniagaan Kukuh

Elsa adalah syarikat Bumiputera yang menyediakan perkhidmatan bersepadu merangkumi teknologi tenaga, transformasi digital, keselamatan siber, robotik autonomi dan teknologi bawah laut.

 

Syarikat itu juga merupakan vendor berlesen PETRONAS serta antara syarikat terawal di Asia yang menawarkan teknologi pemeriksaan paip bawah laut secara autonomi.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi berkata, kejayaan penyenaraian Elsa membuktikan keberkesanan ekosistem sokongan dalam membantu syarikat Bumiputera berpotensi tinggi bersedia ke pasaran modal.

 

Ekosistem Sokongan Kerajaan Dorong Pertumbuhan Syarikat Bumiputera

Beliau berkata, sokongan pembiayaan strategik melalui Dana Pemilikan Strategik Bumiputera (BSAF) membantu memperkukuh kapasiti dan daya saing syarikat sebelum disenaraikan.

 

“TERAJU akan terus memperkukuh ekosistem ini bagi melahirkan lebih banyak syarikat Bumiputera yang berdaya saing, berimpak tinggi dan bersedia untuk berkembang ke peringkat seterusnya,” katanya.

 

Dengan anggaran permodalan pasaran sekitar RM123.83 juta, penyenaraian Elsa dijangka membuka ruang lebih luas kepada syarikat itu untuk mengembangkan operasi serta memperkukuh inovasi teknologi.

 

Penyenaraian tersebut turut dilihat sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dalam memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi bernilai tinggi.- DagangNews.com