Penstrukturan semula TERAJU percepatkan IPO Bumiputera, 20 syarikat bakal disenaraikan di Bursa Malaysia - Menteri Ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penstrukturan semula TERAJU percepatkan IPO Bumiputera, 20 syarikat bakal disenaraikan di Bursa Malaysia - Menteri Ekonomi

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Jun – Malaysia sedang mempertingkat usaha untuk memperluaskan penyertaan Bumiputera dalam pasaran modal, dengan sasaran 20 syarikat disenaraikan melalui tawaran awam permulaan (IPO) bermula tahun 2026.

 

Sasaran itu merupakan sebahagian daripada pelan lebih besar yang merangkumi tempoh lima tahun bagi memperkukuh ekosistem penyenaraian syarikat tempatan di Bursa Malaysia.

 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata penempatan semula Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di bawah Jabatan Perdana Menteri pula akan memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera.

 

Beliau berkata langkah itu membolehkan pemantauan yang lebih rapat di peringkat tertinggi kerajaan, sekali gus mempercepatkan pelaksanaan pelbagai inisiatif berkaitan.

 

“Perubahan tersebut dijangka meningkatkan keberkesanan pelaksanaan rangka kerja sedia ada termasuk Dana Pemilikan Strategik Bumiputera (BSAF) dan program Xccelerate.

 

“Fokus utama ketika ini adalah kepada pelaksanaan dasar, khususnya dalam memperkukuh syarikat Bumiputera supaya lebih bersedia untuk disenaraikan dengan 20 syarikat berpotensi dikenal pasti bermula tahun 2026 untuk tujuan penyenaraian di Bursa Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke penyenaraian Elsa Berhad di Pasaran ACE hari ini.

 

Sasaran 20 syarikat untuk melaksanakan IPO itu meliputi kedua-dua Pasaran ACE dan Pasaran Utama, bergantung kepada tahap kesiapsiagaan serta perkembangan syarikat masing-masing.

 

Menurutnya, antara aspek penting yang diberi perhatian termasuk tadbir urus korporat, daya tarikan kepada pelabur serta keupayaan pertumbuhan mampan.

 

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penempatan semula TERAJU di bawah Jabatan Perdana Menteri akan mewujudkan ekosistem yang lebih bersepadu bagi pembangunan ekonomi Bumiputera.

 

Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha penyelarasan semula institusi berkaitan Bumiputera bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar.

 

Antara institusi yang terlibat termasuk Pelaburan Hartanah Bumiputera (PHB) dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) yang kini berada di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB).

 

Kerajaan percaya pendekatan bersepadu ini akan mempercepatkan pencapaian sasaran IPO serta memperluaskan penyertaan Bumiputera dalam pasaran modal negara.- DagangNews.com