KUALA LUMPUR 16 Jun - Jumlah dagangan Malaysia berkembang kepada RM3.1 trilion pada 2025, merangkumi eksport bernilai RM1.6 trilion dan import sebanyak RM1.5 trilion, dengan Pulau Pinang terus menerajui prestasi eksport negara, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pulau Pinang menyumbang 38.1 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia, diikuti Johor (19.8 peratus), Selangor (17.0 peratus), Sarawak (6.4 peratus) dan Kuala Lumpur (3.7 peratus).
"Pertumbuhan kukuh eksport dipacu oleh litar bersepadu elektronik serta produk elektrik dan elektronik (E&E) lain, khususnya di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.
"Produk petroleum bertapis pula menyumbang kepada eksport di Johor, manakala minyak sawit merupakan antara penyumbang utama eksport di Sabah dan Sarawak," kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menerusi laporan Statistik Perdagangan Luar Negeri Malaysia Mengikut Negeri 2026 hari ini.
Laporan itu turut menunjukkan Indeks Keterbukaan Dagangan (TOI) Malaysia meningkat kepada 151.0 pada 2025 berbanding 149.0 pada tahun sebelumnya, mencerminkan integrasi yang lebih kukuh antara perdagangan dan ekonomi.
Beliau berkata, Pulau Pinang merekodkan TOI tertinggi pada 2024 iaitu 575.1, meningkat daripada 540.6 pada 2023, diikuti Johor dengan 332.1 dan Kedah sebanyak 234.2, menjadikan ketiga-tiga negeri itu satu-satunya yang melepasi paras nasional.
Indeks keterbukaan dagangan meningkat
TOI mengukur tahap kebergantungan perdagangan antarabangsa barangan terhadap ekonomi, selain boleh digunakan untuk menganalisis corak perdagangan serta kepentingan perdagangan kepada ekonomi, katanya.
Beliau berkata, TOI mengikut negeri bagi 2025 masih dalam proses penyusunan berikutan anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) peringkat negeri belum dimuktamadkan dan akan diterbitkan dalam keluaran seterusnya.
Mohd Uzir berkata, negeri-negeri lain yang mencatatkan peningkatan eksport ialah Johor (+RM12.6 bilion), Selangor (+RM7.6 bilion), Melaka (+RM4.2 bilion), Perak (+RM117.4 juta), Sabah (+RM134.7 juta) dan Perlis (+RM0.5 juta).
Bagaimanapun, eksport menurun di Sarawak (-RM15.1 bilion), Kedah (-RM10.3 bilion), Terengganu (-RM8.4 bilion), Kuala Lumpur (-RM4.8 bilion), Pahang (-RM4.8 bilion), Negeri Sembilan (-RM1.4 bilion), Labuan (-RM1.0 bilion) dan Kelantan (-RM96.0 juta).
Import meningkat 6 peratus
Mengenai import, Mohd Uzir berkata Malaysia merekodkan peningkatan sebanyak 6.0 peratus kepada RM1.5 trilion pada 2025, dengan Pulau Pinang sekali lagi menerajui peningkatan import apabila mencatat kenaikan RM60.4 bilion, diikuti Kuala Lumpur (+RM24.8 bilion), Selangor (+RM23.5 bilion), Johor (+RM6.5 bilion), Perak (+RM2.9 bilion), Sabah (+RM582.8 juta) dan Kelantan (+RM112.7 juta).
"Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan pegangan sebanyak 26.3 peratus, diikuti Pulau Pinang sebanyak 24.4 peratus, Johor (22.3 peratus), Kuala Lumpur (8.9 peratus) dan Kedah (4.9 peratus)," katanya.
Import turut disokong oleh litar bersepadu elektronik, khususnya di Pulau Pinang dan Kedah, manakala produk E&E lain serta produk petroleum bertapis menyumbang kepada import di Selangor dan Johor. Selain itu, kristal piezoelektrik serta komponennya merupakan antara produk import utama di Pulau Pinang, tambah beliau. - DagangNews.com








