KUALA LUMPUR 16 Jun - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) memulakan liputan terhadap Liftech Group Bhd, dengan menetapkan nilai saksama sebanyak 38 sen sesaham, mewakili potensi kenaikan sekitar 31% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 29 sen sesaham.
Dalam nota penyelidikannya, PublicInvest berkata, penilaian tersebut dibuat berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 12 kali berasaskan unjuran pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2027 (TK2027).
Menurut firma penyelidikan itu, penilaian berkenaan turut mencerminkan diskaun kira-kira 37% berbanding nisbah P/E Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian Bursa Malaysia yang ketika ini berada pada sekitar 19 kali.
“Penilaian ini adalah wajar memandangkan Liftech mempunyai permodalan pasaran yang relatif kecil iaitu di bawah RM100 juta,” katanya.
Liftech yang berpangkalan di Puchong terlibat dalam reka bentuk dan pembuatan peralatan pengangkat industri berat seperti kren dan gantri, selain menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan serta pembaikan bagi peralatan tersebut.
Permohonan bagi IPO syarikat itu dijadual ditutup pada 16 Jun 2026, manakala penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia dijangka berlangsung pada 30 Jun 2026.
PublicInvest mengunjurkan Liftech mencatat keuntungan bersih sekitar RM10 juta pada TK2027, disokong oleh hasil sebanyak RM85 juta.
Selepas penyenaraian, syarikat itu dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM91.3 juta dengan modal saham diperbesar kepada hampir 315 juta saham.
Daripada hasil IPO berjumlah RM23 juta yang bakal dikumpulkan, sebanyak RM13.8 juta akan digunakan bagi pembayaran balik pinjaman bank yang kebanyakannya diperoleh untuk membiayai pembelian kemudahan baharu serta pengembangan kilang sedia ada.
Firma penyelidikan itu turut menjangkakan pendapatan Liftech berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar 18% dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Prestasi itu dijangka disokong oleh perkembangan berterusan sektor pembuatan, pembinaan dan pergudangan di Malaysia, selain kelebihan syarikat yang mempunyai pangkalan pelanggan yang pelbagai serta pasukan pengurusan berpengalaman.
Bagaimanapun, PublicInvest berkata, prospek Liftech masih terdedah kepada beberapa risiko termasuk turun naik permintaan daripada sektor yang sensitif terhadap keadaan ekonomi, kebergantungan kepada subkontraktor dan ketidaktentuan harga keluli.
Pada masa sama, Liftech ketika ini belum menetapkan sebarang dasar dividen rasmi untuk pemegang saham. - DagangNews.com







