KUALA LUMPUR 16 Jun – KPJ Healthcare Berhad melantik Nurul Amni Mohd Amin sebagai Ketua Pegawai Strategi, Foresight dan Transformasi (CSFTO) bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang syarikat.
Dalam peranan baharunya, beliau akan menerajui kumpulan dengan fokus memastikan strategi korporat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan, selain meningkatkan prestasi organisasi.
Menurut kenyataan, beliau mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang strategi, transformasi, tadbir urus dan aspek pengurusan prestasi menerusi pelbagai jawatan di institusi terkemuka.
"Antaranya termasuk dalam Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Danajamin Nasional Berhad dan Khazanah Nasional Berhad," jelas KPJ Healthcare.
Sebelum itu, Nurul Amni berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan CGC dengan tanggungjawab merangkumi strategi, pengurusan program, kecemerlangan operasi serta fungsi kewangan.
Tambahnya, sepanjang kerjaya, beliau turut pernah menerajui pelbagai inisiatif berkaitan perancangan strategik, transformasi organisasi dan penciptaan nilai jangka panjang syarikat.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, pengalaman luas Nurul Amni dalam melaksanakan strategi di organisasi kompleks akan memperkukuh barisan kepimpinan kumpulan.
"Pelantikan ini meningkatkan prestasi, memperkukuh daya saing dan terus mencipta nilai jangka panjang kepada pesakit, komuniti serta pemegang saham selaras aspirasi mampan kumpulan," katanya.
Nurul Amni merupakan Fellow Chartered Accountant Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW), ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Pengarah Korporat Malaysia.
Dari segi latar belakang akademik kata KPJ Healthcare, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian Kelas Pertama) dalam Perakaunan dan Kewangan dari University of Southampton, Britain.
Beliau diyakini memperkukuh keupayaan kepimpinan dalam menyokong pelaksanaan strategi, transformasi organisasi dan kemampanan jangka panjang sejajar dengan matlamat kumpulan. - DagangNews.com







