KUALA LUMPUR 24 Nov – KPJ Healthcare Berhad terus menunjukkan ketahanan operasinya pada 3Q25 dengan pemulihan momentum pesakit, peningkatan intensiti kes dan strategi pertumbuhan lebih mampan.
Menurut tiga firma penyelidikan, walaupun berdepan tekanan daripada pihak pembayar serta penurunan kadar penghunian katil, mereka mengakui hala tuju kumpulan tersebut menuju FY26 semakin positif.
CGS InternationaI menekankan perubahan strategik ke arah pertumbuhan lebih mampan, termasuk penyusunan semula rancangan penambahan kapasiti untuk mengawal kos dan meningkatkan kecekapan.
"Operasi 3Q25 kekal mantap dengan keuntungan teras naik 9% tahun ke tahun (YoY), seiring jangkaan, namun ada tekanan daripada syarikat insurans yang menjejaskan volum pesakit dimasukkan," katanya.
Sebagai tindak balas kata firma berkenaan, KPJ Healthcare akan memperlahankan penambahan katil baharu dan hanya menambah kapasiti di hospital yang berjaya mencapai kadar optimum 75% penghunian.
Pada masa sama CGSI tetap optimis, mengekalkan saranan 'tambah' dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM3.15, disokong oleh pemulihan hospital baharu serta pengurusan kos yang lebih baik.
Sementara itu, Maybank Investment Bank melihat 3Q25 sebagai suku yang teguh dipacu peningkatan intensiti kes serta disiplin kos dengan keuntungan teras 9M25 mencapai 77% daripada unjurannya.
"Kami mengekalkan pandangan positif dengan beberapa sokongan utama termasuk enam hospital kumpulan ini menunjukkan pemulihan kukuh, dengan tiga sudah mencatatkan untung kasar positif," katanya.
Artikel berkaitan: KPJ Healthcare catat pertumbuhan stabil, hasil naik 9% kepada RM1.12 bilion pada 3Q25
Berdasarkan jangkaan peningkatan margin dan pertumbuhan tahunan 24% hingga FY27, serta potensi lonjakan pelancongan perubatan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, ia yakin dengan potensinya.
Justeru Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan TP RM3.00 sesaham, sambil menambah bahawa trend teknikal KPJ Healthcare masih dalam aliran menaik yang wajar diambil kira oleh para pelabur.
Dalam pada itu, MBSB Research mengambil pendirian lebih berhati-hati walaupun mengakui pemulihan operasi kumpulan di Malaysia dan keuntungan dinormalkan 9M25 hanya mencapai 63% unjuran mereka.
"Ini lebih rendah kerana ketiadaan keuntungan luar biasa tahun lalu akibat pelupusan Jeta Gardens, namun kami menilai positif fokus terhadap pengisian katil sebelum pengembangan agresif," katanya.
Selain itu, strategi KPJ Healthcare meningkatkan kepakaran kepada 30%, khususnya segmen onkologi, kardiologi dan neurologi, diyakini mampu meningkatkan margin serta menarik pelancong perubatan.
Penambahan 150 katil pada FY26 hanya di hospital yang beroperasi lebih 75% juga berupaya membantu kumpulan dan MBSB Research mengekalkan saranan neutral', namun menaikkan TP kepada RM2.76.
Secara keseluruhan, kumpulan itu menunjukkan pemulihan kukuh pada 3Q25, dengan pertumbuhan hasil dan keuntungan stabil dengan FY26 dijangka lebih cerah, berikutan pelbagai isu yang amat positif.
Firma itu mengakui asas operasi KPJ Healthcare kekal kukuh, dengan hala tuju jangka sederhana, namun pemantauan ketat terhadap tekanan kos dan dasar tetap diperlukan. - DagangNews.com








