KPJ Healthcare catat pertumbuhan stabil, hasil naik 9% kepada RM1.12 bilion pada 3Q25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Healthcare catat pertumbuhan stabil, hasil naik 9% kepada RM1.12 bilion pada 3Q25

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 NovKPJ Healthcare Berhad mengekalkan prestasi kukuh bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025, dipacu oleh peningkatan aktiviti pesakit, campuran kes yang lebih kompleks dan usaha berterusan meningkatkan kecekapan operasi.

 

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan mencatat kenaikan hasil 9% kepada RM1.12 bilion, berbanding RM1.03 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

 

Pertumbuhan ini disokong peningkatan 4% lawatan pesakit serta 7% kenaikan jumlah pembedahan, mencerminkan permintaan lebih tinggi terhadap prosedur kompleks dan perkhidmatan khusus.

 

Seiring peningkatan hasil, keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 9% kepada RM151.9 juta, manakala EBITDA bertambah 8% kepada RM274 juta.

 

"PATAMI turut meningkat 9% kepada RM94 juta, didorong oleh intensiti hasil yang lebih baik dan pengurusan kos berdisiplin," kata kenyataan itu.

 

Bagi suku tersebut, kemasukan pesakit dalam kekal kukuh pada 100,001 kemasukan, manakala lawatan pesakit luar meningkat kepada 766,516.

 

Kadar penggunaan katil (BOR) pula berada pada 66% berikutan kapasiti tambahan yang dibawa masuk tahun ini.

 

KPJ Healthcare mengisytiharkan dividen interim 1.23 sen sesaham, berjumlah RM53.7 juta, yang akan dibayar pada 23 Disember 2025.

 

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan, berkata prestasi kukuh suku ini disokong campuran kes yang lebih kompleks serta peningkatan permintaan terhadap penjagaan khusus.

 

“Sejak memulakan transformasi pada 2023, kami kekal fokus memperkukuh platform teras Malaysia, mengoptimumkan portfolio dan membina asas yang lebih berdaya tahan untuk pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

 

Beliau menambah bahawa inisiatif di bawah KPJ Health System — termasuk peluasan subkepakaran, pendigitalan operasi dan pembangunan pusat kecemerlangan — akan terus memacu keupayaan klinikal Kumpulan.

 

Melihat ke hadapan, KPJ Healthcare kekal berhati-hati optimistik terhadap prospek 2025, disokong permintaan pesakit yang stabil serta langkah meningkatkan kecekapan melalui pengoptimuman aset, pengembangan kapasiti dan pengawalan kos.

 

Dalam perkembangan makroekonomi, Bank Negara Malaysia melaporkan pertumbuhan KDNK 5.2% bagi suku ketiga 2025 dan mengekalkan unjuran tahunan antara 4.0% hingga 4.8%.

 

Penangguhan pelaksanaan sistem DRG oleh Kementerian Kesihatan ke 2027 turut memberi kejelasan tambahan bagi peralihan lebih tersusun untuk sektor penjagaan kesihatan swasta. - DagangNews.com