Kontraktor, syarikat bahan binaan dikhuatiri berdepan tekanan kos susulan konflik Timur Tengah - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontraktor, syarikat bahan binaan dikhuatiri berdepan tekanan kos susulan konflik Timur Tengah - CIMB Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Mac - Kontraktor dan pengeluar bahan binaan Malaysia dijangka menghadapi tekanan margin susulan kenaikan kos akibat konflik yang semakin meruncing di Timur Tengah, menurut CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu menegaskan, projek pembinaan berdepan risiko margin baharu yang mungkin timbul sekiranya rantaian bekalan terganggu.

 

Tambahnya, pengilang bahan binaan pula berdepan ketidaktentuan kos input seperti arang batu, besi skrap dan bahan api akibat ketidaktentuan geopolitik yang berpanjangan.

 

“Dalam penilaian ini, kami cenderung untuk mengambil pendekatan lebih berhati-hati berikutan serangan AS-Israel dan ketidaktentuan tarif AS yang berterusan,” kata CIMB Securities dalam nota strategi terkini.

 

Selari dengan sentimen itu, firma penyelidikan tersebut menurunkan sasaran FBM KLCI akhir-2026 kepada 1,754 mata daripada 1,772 mata sebelum ini. Penilaian itu turut mengambil kira penutupan musim laporan kewangan Februari.

 

Berdasarkan laporan kewangan yang dilaporkan akhir Februari lalu, lebih satu daripada empat syarikat yang diliputi CIMB Securities melepasi jangkaan, meningkat daripada 21% pada tempoh laporan berakhir September, manakala hanya 19% mencatat prestasi di bawah jangkaan, turun daripada 27% sebelumnya.

 

Syarikat dalam sektor kesihatan, teknologi, perbankan dan pengangkutan menyumbang separuh daripada pencapai prestasi lebih baik.

 

Bagi strategi pelaburan, CIMB Securities menurunkan penarafan dua sektor — perladangan dan bahan binaan — daripada ‘overweight’ kepada ‘neutral’ disebabkan potensi kenaikan terhad selepas dagangan pasaran baru-baru ini serta unjuran harga minyak sawit yang lebih rendah.

 

Saham-saham syarikat yang kini menjadi pilihan utama termasuk KPJ Healthcare Bhd, Mr DIY Group (M) Bhd, ViTrox Corporation Bhd dan Public Bank Bhd, selain Telekom Malaysia Bhd, Gamuda Bhd, Hong Leong Bank Bhd, UEM Sunrise Bhd, RHB Bank Bhd, Tenaga Nasional Bhd, Malaysian Pacific Industries Bhd, Westports Holdings Bhd, Axis REIT dan Pavilion REIT.

Bagi saham bersaiz kecil dan sederhana, CIMB Securities menambah Insights Analytics Bhd, Duopharma Biotech Bhd, Life Water Bhd dan KIP REIT ke dalam senarai pilihan utama, bersama KJTS Group Bhd, HI Mobility Bhd dan MBM Resources Bhd. - DagangNews.com