KUALA LUMPUR 27 Okt - Kontrak terbaharu IJM Corporation Berhad daripada Sime Darby Property berpotensi menghasilkan margin keuntungan antara lima hingga sembilan peratus.
RHB Research menjangkakan margin tersebut berada dalam lingkungan sehingga lapan peratus manakala Hong Leong Investment Bank (HLIB) menganggarkan sehingga sembilan peratus, selaras dengan panduan yang diberikan kumpulan itu.
IJM Corp memperoleh kontrak bernilai RM1.26 bilion melalui tender awam bagi pembinaan pusat data skala besar di Elmina Business Park.
HLIB berkata, kontrak terbaharu itu menjadikan jumlah nilai kontrak yang diperoleh syarikat bagi tahun kewangan berakhir Mac 2026 meningkat kepada RM4.2 bilion, berbanding RM2.8 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan 2025 (FY25), sekali gus meningkatkan jumlah buku pesanan belum dilaksanakan kepada RM8.5 bilion.
Katanya, jumlah itu bersamaan dengan liputan pesanan kerja sebanyak 3.3 kali berdasarkan hasil FY25.
ARTIKEL BERKAITAN: IJM Construction peroleh kontrak RM1.26 bilion daripada SimeProp bina pusat data di Elmina Business Park
“Pencapaian kontrak IJM Corp setakat ini berada pada 69 peratus daripada unjuran kami sebanyak RM6 bilion bagi tahun kewangan 2026.
“Selepas pakej kerja struktur utama ini disiapkan, kami menjangkakan IJM akan memperoleh pula kontrak kerja mekanikal, elektrikal dan paip yang berpotensi meningkatkan jumlah keseluruhan kontrak kepada lebih RM2.5 bilion,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, kejayaan terbaharu itu menandakan kemajuan penting bagi IJM Corp dalam menembusi segmen pelanggan hiperskala berimpak tinggi, sekali gus berpotensi mengukuhkan prospeknya dalam tender yang sedang berjalan serta kedudukannya untuk bersaing bagi projek pembangunan kampus pusat data berkapasiti 1GW yang bakal datang.
Sementara itu, RHB Research berkata, projek Elmina Business Park itu merupakan kontrak pusat data kedua terbesar yang pernah diperoleh IJM Corp, selepas perjanjian bernilai RM1.4 bilion yang dimeterai pada Ogos lalu bagi sebuah fasiliti di Johor.
Katanya, kontrak ini menjadi projek pusat data ketiga yang diperoleh IJM Corp dalam tahun kewangan 2026 (FY26), jumlah keseluruhan kontrak baharu syarikat kini telah mencapai RM4.2 bilion, berbanding sasaran FY26 sebanyak RM6 bilion.
“Sehubungan itu, jumlah buku pesanan domestik belum dilaksanakan kini dianggarkan bernilai sekitar RM7.4 bilion.
“Berdasarkan analisis kami, jumlah kontrak pusat data yang sedang dimiliki IJM Corp bernilai RM2.8 bilion, bersamaan dengan 38 peratus daripada keseluruhan buku pesanan domestiknya,” katanya.
Kedua-dua firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan "beli" dengan RHB Research mengekalkan harga sasaran (TP) pada RM3.62 manakala HLIB mengekalkan TP RM3.50 sesaham.- DagangNews.com








