KUALA LUMPUR 27 Okt – IJM Construction Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh IJM Corp Bhd memperoleh kontrak bernilai RM1.26 bilion daripada anak syarikat Sime Darby Property Bhd (SimeProp) bagi membangunkan pusat data di Elmina Business Park, Selangor.
IJM Corp berkata, kontrak tersebut meliputi kerja pembinaan struktur utama bagi satu blok pusat data, termasuk kemudahan serta infrastruktur sokongan yang berkaitan.
Projek tersebut dijadualkan bermula pada suku keempat tahun 2025 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua tahun 2027.
Pembangunan itu akan meliputi kawasan seluas 31.16 hektar di dalam Elmina Business Park yang telah dikenal pasti oleh SimeProp sebagai lokasi strategik untuk memperluas pembangunan pusat data.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corp, Datuk Lee Chun Fai berkata, penganugerahan kontrak tersebut mengukuhkan lagi kerjasama strategik antara IJM dan SimeProp dalam infrastruktur industri serta digital berteknologi tinggi.
“Ia mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan IJM Construction untuk melaksanakan projek kompleks dengan selamat dan cekap dalam tempoh masa singkat.
“Kontrak ini mengukuhkan lagi buku pesanan kami disokong oleh peningkatan projek dalam sektor industri dan pusat data,” katanya dalam satu kenyataan.
IJM Corp berkata, dengan pengalaman yang semakin meluas dalam pembinaan pusat data serta keupayaan kejuruteraan bersepadu merangkumi kerja sivil dan struktur, IJM Construction berada pada kedudukan kukuh untuk merebut peluang dalam sektor infrastruktur digital dan industri yang sedang pesat berkembang di Malaysia.
Sementara itu, Sime Darby Property Bhd dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan projek itu mengukuhkan aspirasinya untuk menjadikan Elmina Business Park sebagai hab serantau bagi pembangunan berasaskan teknologi.
Ia juga menyokong strategi kumpulan itu dengan memperluas sumber pendapatan berulang di bawah portfolio Pelaburan dan Pengurusan Aset, sekali gus memperkukuh kedudukan Elmina Business Park sebagai hab industri dan teknologi terkemuka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, kerjasama dengan IJM Construction menonjolkan komitmen kumpulan dalam menyampaikan aset bertaraf dunia melalui rakan strategik yang dipercayai.
“Penganugerahan kontrak ini adalah satu lagi pencapaian penting dalam usaha kami membina infrastruktur digital generasi baharu di Malaysia.
“Kami sedang membangunkan aset berteknologi tinggi yang kritikal untuk memenuhi permintaan ekonomi digital global.
“Kami berbesar hati bekerjasama dengan IJM Construction, yang mempunyai rekod kukuh dalam menyempurnakan projek berskala besar ini,” katanya. - DagangNews.com








