KUALA LUMPUR 23 Okt - Kemenangan kontrak terbaharu Exsim Hospitality Berhad dijangka menyumbang margin keuntungan sebanyak 15% atau RM2.6 juta sepanjang tempoh kontrak dan ia sejajar dengan margin projek seumpanya sebelum ini.
TA Securities berkata, kemenangan itu menjadi batu loncatan kepada kumpulan untuk merebut peluang masa depan dalam buku tempahan tertunggak milik Binastra Corp Berhad berjumlah RM4.9 bilion setakat September 2025.
Katanya, dengan andaian kadar kejayaan konservatif sebanyak 30% dan kerja dalaman menyumbang 15% daripada jumlah nilai projek, Exsim Hospitality berpotensi menjana kontrak baharu bernilai sekitar RM220 juta bagi kerja dalaman tambahan.
Perkembangan itu sekali gus mengukuhkan ketelusan penambahan buku pesanan jangka pendek kumpulan dan menyokong kemampanan pendapatan.
"Dengan mengambil kira penganugerahan kontrak terbaharu ini serta kadar penggunaan modal sebanyak RM60 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26), kami menganggarkan buku tempahan terkumpul kumpulan kini berjumlah sekitar RM161.6 juta.
ARTIKEL ERKAITAN: Exsim Hospitality raih kontrak bernilai RM17.64 juta daripada Binastra Builders
"Jumlah ini bersamaan 1.2 kali ganda hasil segmen reka bentuk dan pemasangan dalaman bagi tahun kewangan 2025 (FY25), sekali gus memperkukuh ketelusan pendapatan jangka pendek syarikat," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu optimis terhadap prospek penambahan buku pesanan jangka pendek Exsim Hopitality kerana melihatnya sebagai peneraju bagi kerja reka bentuk dalaman dalam saluran pembangunan besar yang dianggarkan membawa nilai pembangunan kasar (GDV) sekurang-kurangnya RM30 bilion.
Exsim Hopitality baru-baru ini memperoleh kontrak kerja dalaman bernilai RM17.6 juta daripada Binastra, merangkumi bekalan, pembuatan, penghantaran, dan pemasangan kerja-kerja kayu untuk unit apartmen di bawah projek pembangunan tersebut.
Binastra Builders bertindak sebagai kontraktor utama bagi projek pembinaan apartmen itu.
TA Securities yakin terhadap kumpulan kerana kedudukannya sebagai penerima manfaat strategik, strategi hospitaliti hibridnya yang memastikan ketelusan pendapatan, serta potensi pembukaan nilai masa depan melalui amanah pelaburan hartanah hospitaliti.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada 54 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com








