Exsim Hospitality raih kontrak bernilai RM17.64 juta daripada Binastra Builders | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Exsim Hospitality raih kontrak bernilai RM17.64 juta daripada Binastra Builders

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Okt – Exsim Hospitality Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Exsim Concepto Sdn Bhd menerima surat anugerah (LOA) bernilai RM17.64 juta daripada Binastra Builders Sdn Bhd bagi kerja-kerja pertukangan kayu di unit apartmen di bawah satu projek pembinaan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, surat anugerah bertarikh 20 Oktober 2025 itu merangkumi skop kerja pembekalan, pembuatan, penghantaran dan pemasangan kerja-kerja pertukangan kayu.

 

“Ia akan dilaksanakan mengikut jadual pembinaan kontrak utama yang sedang berjalan,” katanya.

 

Kontrak utama projek tersebut telah diberikan kepada Binastra Builders Sdn Bhd dan bermula pada 1 April 2024. 

 

Ia dijadualkan siap pada 31 Ogos 2027 dengan tempoh keseluruhan selama 41 bulan.

 

Menurut Exsim Hospitality, kerja-kerja subkontrak ini akan dijalankan secara berperingkat berdasarkan kemajuan projek dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.

 

“Kerja-kerja tersebut termasuk dalam bidang kepakaran Exsim Concepto, yang aktif dalam penyediaan perkhidmatan hiasan dalaman dan pertukangan kayu bagi projek kediaman dan komersial.

 

“Lembaga pengarah, selepas meneliti semua aspek surat anugerah dan kerja-kerja subkontrak, berpendapat penerimaan LOA berkenaan adalah dalam urusan perniagaan biasa kumpulan serta sejajar dengan kepentingan terbaik syarikat.

 

“Tiada sebarang liabiliti material dijangka timbul daripada pelaksanaan kerja tersebut, dan penerimaan surat anugerah itu tidak akan memberi sebarang kesan ketara terhadap modal saham serta pegangan utama dalam Kumpulan,” katanya. - DagangNews.com