KUALA LUMPUR 24 Jun – Lonjakan permintaan pusat data (DC) dijangka meningkatkan tekanan ke atas YTL Power International Berhad bagi menampung keperluan bekalan elektrik dan infrastruktur utiliti.
Menurut analisis CGS International (CGSI), kumpulan tersebut ketika ini dilihat memerlukan tambahan bekalan tenaga sebanyak 600MW lagi untuk dapat menyokong pelbagai pelan pengembangan terbaharunya.
Firma penyelidikan itu berkata, keperluan semakin besar itu mencerminkan cabaran utama industri DC ketika pemain sektor berlumba-lumba mendapatkan akses kepada bekalan tenaga dan air yang mencukupi.
"YTL Power kekal optimis terhadap prospek pasaran DC susulan permintaan pelanggan yang kukuh, dan mendorong ia menggandakan kapasiti di Johor kepada 1.2GW berbanding sasaran awal 600MW," jelasnya.
Ujar CGSI, faktor kepantasan penyiapan projek menjadi kelebihan kompetitif utama dalam industri, dengan pelanggan cenderung memilih pengendali menyediakan kapasiti baharu dalam tempoh singkat.

Kumpulan itu berjaya memendekkan tempoh pembinaan DC daripada kira-kira 24 bulan sebelum ini kepada 18 bulan, manakala projek generasi baharu disasarkan siap dalam tempoh hanya 12 hingga 15 bulan.
Dalam lawatan tapak firma itu ke taman DC YTL Power di Johor baru-baru ini, kontrak diperolehnya berjumlah 298MW dengan kira-kira 70% daripadanya sudah pun siap dan diserahkan kepada pelanggan.
"Malah, pengurusan menyasarkan kapasiti naik kepada 500MW menjelang akhir 2027, disokong pembinaan tambahan 200MW menerusi fasiliti JDC5 dan JDC11 yang dijangka siap tahun depan," kata CGSI lagi.
Selain itu, kumpulan tersebut juga sedang berbincang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mendapatkan tambahan bekalan elektrik 600MW, selain pelan induk direka mampu menyokong kapasiti.
Pada masa sama, taman itu disokong ladang solar berkapasiti 600MW yang dibangunkan menerusi anak syarikat YTL Power, SIPP Power, dengan 215MW pertama dijangka mula beroperasi menjelang akhir 2026.

CGSI berkata, kumpulan itu turut merancang pembangunan kapasiti DC tambahan sekitar 1GW di Lembah Klang, selain menilai peluang pengembangan antarabangsa di Thailand, Indonesia, Jepun dan Britain.
"Kumpulan tersebut juga berhasrat membangunkan DC berkapasiti 70MW di Cyberjaya di atas tanah seluas 4.5 hektar miliknya, tertakluk kepada kelulusan bekalan tenaga bagi tapak berkenaan," ujarnya.
Justeru, firma itu mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham YTL Power dengan harga sasaran (TP) masih tidak berubah pada RM4.60 sesaham, disokong prospek pendapatan yang semakin stabil.
Penilaian berkenaan jelas CGSI, berikutan sumbangan daripada kontrak DC jangka panjang dan operasi utiliti terkawal yang dilihat semakin meningkat positif. - DagangNews.com








