Kontrak selenggara Masjid Putra dijangka jana untung RM5.2 juta kepada AWC — Malacca Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak selenggara Masjid Putra dijangka jana untung RM5.2 juta kepada AWC — Malacca Securities

PEMANDANGAN Masjid Putra di Putrajaya. - Foto kredit Perbadanan Putrajaya
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Dis – Kontrak baharu yang diraih AWC Berhad bagi penyelenggaraan dan pengurusan fasiliti Kompleks Masjid Putra, Putrajaya dijangka berpotensi besar, menurut Malacca Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, tender terkini berkenaan dijangka menyumbang antara RM4.2 juta sehingga RM5.2 juta kepada keuntungan bersih kumpulan itu sepanjang tempoh lebih lima tahun.


Jelasnya, Surat Setuju Terima untuk kontrak yang bernilai RM52.3 juta itu diperoleh melalui anak syarikatnya, Ambang Wira Facilities Sdn Bhd (AWFSB), daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) semalam.


"Dengan mengambil kira margin keuntungan bersih konservatif antara 8% hingga 10%, penyumbangan kepada keuntungan dijangka mencecah RM5.2 juta," kata Malacca Securities dalam notanya hari ini.



Artikel berkaitan: AWC peroleh kontrak RM52.28 juta urus fasiliti Kompleks Masjid Putra


Kerja-kerja bermula pada 1 Februari 2026 dan berakhir 30 April 2031, menjadikan ini kontrak ketujuh AWC bagi tahun kewangan 2026, dengan jumlah kemenangan kontrak kini kira-kira RM382 juta.


Justeru, firma itu menilai tender tersebut sebagai positif, memandangkan kontrak berjangka panjang memberi pendapatan stabil dan jelas kepada bahagian fasiliti kumpulan itu dari FY26 hingga FY31. 


Berdasarkan kepada situasi berkenaan, Malacca Securities terus mengekalkan unjuran hasil kerana kontrak itu berada dalam jangkaan semasa, dengan mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham AWC.


"Kami turut tidak ubah harga sasaran iaitu 66 sen, bersandarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sasaran 10 kali terhadap pendapatan sesaham (EPS) pada FY27 sebanyak 6.58 sen," katanya.


Selain itu, ia menegaskan yang kontrak ini mengukuhkan lagi jejak AWC dalam penyelenggaraan fasiliti sektor awam dan menyokong prospek pertumbuhan beberapa tahun akan datang. - DagangNews.com