KUALA LUMPUR 9 Dis – AWC Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Ambang Wira Facilities Sdn Bhd (AWF), memperoleh kontrak bernilai RM52,284,067.92 bagi perkhidmatan pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan Kompleks Masjid Putra, Putrajaya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AWC berkata AWF telah menandatangani dan menerima surat setuju terima (SST) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia pada 9 Disember 2025.
Kontrak tersebut mempunyai tempoh selama 5.25 tahun, bermula 1 Februari 2026 hingga 30 April 2031, dengan jumlah nilai RM52,284,067.92 termasuk cukai perkhidmatan.
AWC berkata kontrak itu adalah sebahagian daripada urusan biasa perniagaan AWF dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih Kumpulan AWC sepanjang tempoh kontrak.
Menurut syarikat, risiko yang berkaitan adalah risiko operasi biasa yang lazim bagi kontrak pengurusan fasiliti bersama klien kerajaan.
AWC turut memaklumkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.
Lembaga pengarah AWC berkata penerimaan kontrak berkenaan adalah dalam kepentingan terbaik syarikat dan selaras dengan operasi teras kumpulan. - DagangNews.com








