Kontrak pusat data terbaharu tingkatkan pendedahan Binastra ke atas sektor berimpak tinggi - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak pusat data terbaharu tingkatkan pendedahan Binastra ke atas sektor berimpak tinggi - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 NovBinastra Corporation Berhad terus memperkukuh kedudukan dalam sektor pusat data (DC) berimpak tinggi menerusi kontrak terbaharu bernilai RM188.5 juta, menurut TA Securities.


Firma penyelidikan itu berkata, projek ini merupakan sambungan kerja-kerja bangunan dan fasa pertama mekanikal dan elektrikal (M&E) yang sebelum ini diraih daripada AIMS Data Centre Sdn Bhd.


Kumpulan berkenaan merupakan pengendali DC yang 70% dimiliki oleh DigitalBridge, sebuah syarikat awam tersenarai di Bursa Saham New York (NYSE), manakala baki dipegang pula Time dotCom Berhad.


"Dengan kontrak ini, jumlah tender baharu tahun semasa (YTD) Binastra naik kepada RM2.0 bilion, iaitu 50% daripada sasaran pengisian semula buku tempahan FY26," kata TA Securities dalam notanya.


Situasi itu menjadikan jumlah buku tempahan belum selesai ialah RM5.1 bilion, memberikan liputan 3.3 kali pendapatan FY26 dan memastikan keterlihatan hasil kukuh untuk tiga tahun akan datang.


Ia menjangka margin projek ini sedikit lebih rendah berbanding projek pembangunan hartanah biasa disebabkan isu kerumitan teknikal kerja M&E yang kontrak bakal dipecahkan kepada firma pakar.


Bagaimanapun tambah TA Securities, dengan unjuran margin bersih 3%, kontrak terbaharu ini dijangka menyumbang kira-kira RM5.7 juta kepada keuntungan Binastra sepanjang tempoh pelaksanaan kerjanya.



Artikel berkaitan: Binastra raih kontrak RM188.5 juta bagi kerja fit out pusat data AIMS di Cyberjaya

 

"Kami kekal positif terhadap prospek pengisian semula buku tempahan, disokong oleh saluran projek bernilai RM2 bilion daripada pelanggan berulang seperti Exsim dan Maxim," jelas firma tersebut.


Dua syarikat berkenaan menawarkan banyak projek kediaman bertingkat tinggi di Johor dengan nilai keseluruhan RM3.3 bilion, serta RM200 juta kontrak berpotensi projek solar skala besar (LSS).


TA Securities turut menegaskan kemenangan kontrak ini mengukuhkan hubungan strategik Binastra dengan AIMS, sekali gus meletakkan syarikat sebagai peneraju utama bagi projek DC masa hadapan.


Berdasarkan semakan saluran industri katanya, AIMS yang diperkuat dengan dana lebih RM2 bilion selepas diperoleh oleh DigitalBridge, dijangka memperluaskan rangkaian DC di Lembah Klang.


"Ini boleh membuka peluang kerja sehingga RM600 juta kepada Binastra dan kami melihat perkembangan positif itu meningkatkan pendedahan syarikat kepada sektor DC yang berkembang pesat," jelasnya.


Selain itu kata TA Securities, langkah berkenaan memperkukuhkan hubungan dengan pengendali global bereputasi tinggi dan turut menambah baik keterlihatan pendapatan jangka sederhana syarikat.


Firma tersebut mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Binastra dengan harga sasaran RM2.85 sesaham, yang berdasarkan unjuran penilaian nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 17 kali.


Dengan penurunan harga saham sebanyak 6.8% bulan ke bulan, ia membuka peluang belian menarik, memandangkan sahamnya kini diniagakan pada 13.1 kali unjuran pendapatan sesaham (EPS) pada 2026.


“Binastra kekal antara pilihan utama kami berikutan hubungan kukuh dengan pelanggan utama, kedudukan strategik dalam kitaran naik pembinaan dan pertumbuhan mampan," katanya. - DagangNews.com