KUALA LUMPUR 4 Nov – Binastra Corporation Bhd mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Binastra Builders Sdn Bhd, telah dianugerahkan kontrak bernilai RM188.5 juta oleh MYT DC3 Sdn Bhd bagi kerja-kerja fit-out mekanikal dan elektrikal Fasa 2 untuk pusat data enam tingkat milik AIMS Group di Cyberjaya, Selangor.
Projek tersebut dijangka siap dalam tempoh empat bulan dari tarikh permulaan, sekali gus memperkukuh kedudukan Cyberjaya sebagai hab utama pusat data dan teknologi di Malaysia yang terus berkembang pesat selaras dengan permintaan terhadap infrastruktur digital yang semakin meningkat.
Menurut Pengarah Urusan Binastra Corporation Bhd, Datuk Jackson Tan Kak Seng, penganugerahan kontrak ini mencerminkan kepercayaan berterusan pelanggan terhadap keupayaan syarikat dalam menyokong ekosistem infrastruktur digital negara.
“Kami berasa amat berbesar hati atas kepercayaan dan keyakinan berterusan daripada pelanggan kami, yang sekali lagi membuktikan reputasi Binastra sebagai rakan strategik dalam membangunkan infrastruktur digital Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, projek itu menandakan kontrak pusat data kelima yang dimenangi kumpulan tersebut, dengan nilai keseluruhan kontrak pusat data kini mencecah RM1.4 bilion.
“Kami akan terus meneroka peluang baharu dalam sektor ini dan komited menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih mampan serta maju secara digital melalui penyediaan pusat data berkualiti tinggi dan cekap tenaga,” ujarnya.
Setakat ini, Binastra telah memperoleh kontrak baharu bernilai RM2 bilion, menjadikan jumlah buku pesanan belum siap syarikat meningkat kepada RM4.7 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai pemain utama dalam sektor pembinaan dan infrastruktur berteknologi tinggi di Malaysia. - DagangNews.com








