Kontrak di Mexico sehingga 2035 kukuhkan pertumbuhan segmen gas Coastal Contracts, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak di Mexico sehingga 2035 kukuhkan pertumbuhan segmen gas Coastal Contracts, kata TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 DisCoastal Contracts Berhad mengukuhkan kedudukan dalam segmen pemprosesan gas menerusi kontrak jangka panjang dengan syarikat minyak nasional Mexico bernilai RM4.6 bilion.


Menurut TA Securities, pemeteraian dengan Petroleos Mexicanos (Pemex), bagi pembangunan medan gas dikenali Ixachi itu merangkumi kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) kemudahan baharu.


Selepas siap dan ditauliahkan pada suku keempat 2026, kumpulan berkenaan turut akan menyediakan perkhidmatan pemanis gas untuk tempoh jangka panjang sehingga 2035 di lembangan medan darat itu.


"Kami berpandangan kontrak ini adalah positif dari sudut strategik, kerana ia menambah kapasiti gas sebanyak 150 juta kaki padu standard setiap hari (mmscfd)," jelas firma penyelidikan tersebut.


Pada masa sama kata TA Securities, tender berkenaan meningkatkan keterlihatan hasil jangka panjang Coastal Contracts sendiri menerusi komponen perkhidmatan yang berbilang tahun secara berterusan.

 

Artikel berkaitan: Coastal Contracts raih tender bernilai RM4.64 bilion dari Pemex, kukuhkan kedudukan strategik medan gas di Mexico


Tambahnya, kontrak itu turut mengurangkan risiko pelan pengembangan kapasiti yang sebelum ini dinyatakan oleh syarikat, di samping mengukuhkan lagi kehadiran operasi Coastal di medan Ixachi.


Gabungan kerja EPC diikuti fasa perkhidmatan jangka panjang menyokong campuran pendapatan lebih seimbang, dengan aliran tunai semakin stabil dan berkualiti dijangka terhasil selepas pentauliahan


"Pengumuman kontrak tersebut mengukuhkan lagi fokus strategik Coastal Contracts dalam pemprosesan gas, namun tidak pula menandakan perubahan arah perniagaan syarikat ini," jelas TA Securities.


Dari segi unjuran pula, firma berkenaan tidak membuat sebarang perubahan kepada anggaran pendapatan buat masa ini, sementara menunggu penjelasan lanjut daripada sesi taklimat penganalisis.


Berdasarkan perkembangan semasa, ia mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran RM2.21 sesaham, bersandarkan kaedah penilaian jumlah bahagian (SOP) prestasi kumpulan itu sendiri. - DagangNews.com