KUALA LUMPUR 4 Dis – Kontrak baharu bernilai RM60 juta yang diraih AWC Berhad daripada Prasarana Malaysia Berhad dijangka menyumbang margin untung bersih sekitar 10%, menurut Malacca Securities.
Firma penyelidikan tersebut menambah, tender terkini diperoleh pada 2 Disember 2025 itu sekali gus memberi lonjakan positif kepada prestasi Divisyen Rel kumpulan berkenaan untuk FY26 hingga FY28.
Katanya, kontrak itu diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya, Trackwork & Supplies Sdn Bhd (TWS), setelah menandatangani surat setuju penerimaan (LoA) bagi kerja-kerja landasan LRT Laluan Ampang.
"Skop kerja merangkumi pembekalan, pemasangan, ujian serta pentauliahan mengikut spesifikasi teknikal Prasarana, dengan tempoh kontrak selama 36 bulan selepas LoA diterima," kata Malacca Securities.
Artikel berkaitan: AWC peroleh kontrak RM59 juta gantian rel Ampang Line daripada Prasarana
Dengan kemenangan ini, jumlah keseluruhan kontrak baharu AWC bagi FY26 meningkat kepada sekitar RM330 juta, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemain kukuh dalam segmen infrastruktur rel.
Pada masa sama, firma berkenaan menegaskan yang kontrak tersebut membuktikan keyakinan berterusan Prasarana terhadap keupayaan kumpulan itu sendiri sebagai kontraktor ulangan yang berpengalaman.
Malacca Securities menganggarkan kontrak berkenaan akan menyumbang sekitar RM6 juta kepada keuntungan bersih syarikat itu sepanjang tempoh pelaksanaan, berdasarkan unjuran margin konservatif.
"Sejajar jangkaan tersebut, kami mengekalkan unjuran pendapatan serta saranan 'beli' dengan harga sasaran 66 sen sesaham, berasaskan 10 kali nisbah harga kepada perolehan," katanya. - DagangNews.com








