KUALA LUMPUR 2 Dis – AWC Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Trackwork & Supplies Sdn Bhd telah menerima surat penerimaan (LoA) daripada Prasarana Malaysia Berhad bagi projek penggantian rel konduktor kuasa komposit aluminium untuk landasan Ampang Line.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AWC berkata, kontrak berjumlah RM58.99 juta itu merangkumi bekalan, pemasangan, ujian dan pentauliahan rel baharu mengikut spesifikasi teknikal Prasarana.
“Kerja dijangka bermula dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan LOA dan akan dilaksanakan sepanjang tempoh 36 bulan, dengan tempoh tanggungjawab kecacatan selama 24 bulan.
“Sumber pembiayaan projek ini adalah melalui dana dalaman AWC dan ia dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, keuntungan serta aset bersih kumpulan sepanjang tempoh kontrak,” katanya dalam makluman itu.
AWC menegaskan bahawa risiko yang terlibat adalah risiko perniagaan dan operasi biasa dalam kerja kejuruteraan rel, dan TWS mempunyai pengalaman dalam projek seumpama ini bagi menguruskan risiko berpotensi.
Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini.
Menurut pihak pengurusan, penerimaan LOA ini adalah bagi kepentingan terbaik syarikat, memperkukuh portfolio infrastruktur rel AWC dan meningkatkan ketelusan serta prospek pendapatan masa depan kumpulan.
Baru-baru ini, AWC Bhd melalui anak syarikat tidak langsung milik penuhnya Stream Environment (S) Pte Ltd (SESG), menerima LoA daripada Housing & Development Board (HDB) Singapura pada 14 November 2025 untuk kerja Reka Bentuk, Bina dan Operasi Sistem Pemindahan Sisa Pneumatik (PWCS) bagi Projek EW & FM bernilai SGD4.6 juta (kira-kira RM14.6 juta).
Kejayaan memenangi kontrak itu bukan sahaja mengukuhkan penguasaan pasaran kumpulan di Singapura, malah memberi keterlihatan pendapatan yang baik untuk tahun-tahun mendatang.
Ia juga meneruskan momentum positif dalam memperoleh kontrak, selain mengekalkan kepercayaan HDB sebagai pelanggan berulang. - DagangNews.com








