Klausa 'Pilihan Untuk Membeli' berpotensi selesai pelbagai isu perumahan termasuk projek terbengkalai - REHDA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Klausa 'Pilihan Untuk Membeli' berpotensi selesai pelbagai isu perumahan termasuk projek terbengkalai - REHDA

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Mei - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) yakin pengenalan klausa 'Pilihan Untuk Membeli' (OTP) di bawah Akta Pembangunan Hartanah baharu mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu pembeli rumah dan pemaju hartanah.

 

Presidennya, Datuk Ho Hon Sang berkata, pelaksanaan OTP juga berpotensi menjadi penyelesaian praktikal kepada isu projek perumahan terbengkalai yang sekian lama membelenggu industri.

 

“Pengenalan OTP juga berpotensi menjadi penyelesaian kepada pelbagai isu yang dihadapi kedua-dua pihak termasuk isu projek terbengkalai seperti yang dinyatakan oleh menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Cadangan pengenalan klausa “Option to Purchase” (OTP) di bawah Akta Pembangunan Hartanah baharu yang bakal menggantikan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

 

Menurut Hon Sang, walaupun mekanisme itu masih belum dimuktamadkan, OTP dilihat berpotensi memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu pembeli rumah dan pemaju hartanah.

 

“Secara prinsipnya, mekanisme OTP adalah baik dalam melindungi bakal pembeli rumah yang ingin membeli unit kediaman tertentu, selain memberi ruang kepada mereka untuk mempertimbangkan semula keputusan sekiranya keadaan berubah,” katanya.

 

Di bawah cadangan itu, kedua-dua pembeli dan pemaju boleh menarik diri daripada transaksi sebelum perjanjian jual beli (SPA) dimeterai.

 

Langkah tersebut memberi fleksibiliti kepada pembeli untuk membatalkan pembelian sekiranya terdapat perubahan keadaan peribadi atau keputusan pelaburan, manakala pemaju pula boleh menarik diri daripada projek yang tidak lagi berdaya maju dari segi komersial atau kewangan.

 

REHDA berkata mekanisme itu juga boleh membantu pemaju menilai minat sebenar pasaran sebelum komitmen mengikat dibuat serta sebelum pembinaan dimulakan.

 

Persatuan itu turut berpandangan bahawa pelaksanaan OTP berpotensi menjadi penyelesaian praktikal kepada isu projek perumahan terbengkalai yang sekian lama membelenggu industri. - DagangNews.com