KUALA LUMPUR 24 Okt – Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) terus mengekalkan prestasi kewangan yang lebih kukuh bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025 (9MFY25).
Tiga firma penyelidikan dalam analisis mereka berpendapat, situasi positif tersebut disokong oleh faktor sumbangan daripada aset baharu serta kenaikan penyewaan yang teguh di segmen industri.
Mereka turut mengekalkan unjuran stabil terhadap prospek kumpulan amanah pelaburan hartanah tempatan tersebut namun dengan pandangan yang berbeza terhadap penilaian harga sasaran (TP).
Antaranya, MBSB Research yang menyifatkan keputusan 9MFY25 Axis-REIT dengan pendapatan teras sebanyak RM153.3 juta, meningkat 27% tahun ke tahun (YoY), sejajar dengan jangkaan pasaran.
"Pertumbuhan didorong oleh sumbangan daripada aset baharu serta pelarasan penyewaan positif di hartanah industri, tetapi keuntungan seunit hanya meningkat 9.8% YoY," katanya dalam satu nota.
Situasi itu berikutan kesan pencairan daripada penempatan unit pada 4QFY24 dan Axis REIT kekal aktif dalam pengambilalihan aset baharu, termasuk hartanah industri dengan sasaran RM300 juta.
Ia mengekalkan saranan 'neutral' dengan TP tidak berubah kepada RM2.07, berdasarkan model diskaun dividen (DDM), sambil menilai hasil agihan sebanyak 4.3% sebagai masih lagi kurang menarik.
Sementara itu, CGS International (CGSI) mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Axis REIT dengan TP RM2.28, sambil menegaskan keputusan pada 9MFY25 selaras dengan jangkaan penganalisis sendiri.
"Pendapatan teras meningkat 27% YoY kepada RM155.9 juta, disokong oleh lapan pengambilalihan yang bernilai RM719 juta sepanjang FY24 dan peluasan Axis Mega Distribution Centre Fasa 2," katanya.
Artikel berkaitan: Untung bersih Axis-REIT pada 3QFY25 naik 38% kepada RM52.1 juta, dipacu penyewaan baharu
Firma itu merujuk prestasi operasi yang sihat dengan kadar penghunian tinggi 97%, manakala 82% daripada ruang yang akan tamat tempoh pada akhir FY25, sudah diperbaharui atau disewakan semula.
Keadaan ini kata CGSI, mencerminkan permintaan kukuh, manakala dua pengambilalihan terkini akan memberi sumbangan tambahan kira-kira RM8.1 juta kepada pendapatan bersih operasi (NPI) pada FY26.
Firma itu turut menekankan kedudukan penggearan yang sihat pada 0.33 kali, memberi ruang kepada Axis-REIT untuk melaksanakan pengambilalihan berdaya hasil serta inisiatif penambahbaikan aset.
"Bagaimanapun RHB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan TP RM2.23 sesaham, kerana menilai ia menawarkan potensi kenaikan sekitar 5% dan hasil unjuran FY25F sebanyak 5%," jelas firma itu.
Prestasi 9MFY25 katanya, adalah sejajar jangkaan dengan keuntungan teras sebanyak RM154.2 juta, iaitu peningkatan 28.1% YoY, disokong oleh margin NPI yang amat kukuh kepada kira-kira 87.1%.
Pendapatan juga meningkat 18% YoY hasil sumbangan pengambilalihan bernilai RM719 juta tahun lalu dan memuji pengurusan Axis-REIT atas kejayaan pembiayaan sukuk RM300 juta dengan kadar kupon 4%.
Langkah itu kata RHB Research, dijangka menambah kapasiti modal kepada RM890 juta berdasarkan had penggearan 50% dan mengukuhkan keupayaan REIT untuk meneruskan pertumbuhan secara bukan organik.
"Bagi prospek 2026, kami menjangka pertumbuhan akan disokong oleh dua aset baharu di Bukit Raja dan Bandar Sultan Suleiman, yang bakal disiapkan sepenuhnya menjelang 1H26," kata firma tersebut.
Secara keseluruhan, ketiga-tiga firma itu bersetuju Axis-REIT mengekalkan asas operasi yang kukuh dengan kadar penghunian stabil dan potensi pertumbuhan berterusan melalui pengambilalihan baharu.
Axis-REIT juga masih kekal sebagai pilihan dalam sektor hartanah industri, dengan prospek pertumbuhan jangka panjang disokong oleh portfolio yang mantap di Lembah Klang. - DagangNews.com








