Untung bersih Axis-REIT pada 3QFY25 naik 38% kepada RM52.1 juta, dipacu penyewaan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Axis-REIT pada 3QFY25 naik 38% kepada RM52.1 juta, dipacu penyewaan baharu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 OktAxis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) mencatatkan lonjakan 37.8% dalam untung bersih kepada sebanyak RM52.1 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25).


Menurut kumpulan pelaburan amanah hartanah itu, pertumbuhan baik tersebut disokong oleh faktor penyewaan baharu dan semakan semula sewa yang positif di seluruh portfolio hartanah industrinya.


Ia merekodkan pendapatan amanah berjumlah RM92.8 juta, meningkat 15.6% berbanding RM80.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu, menandakan suku prestasi kukuh bagi industri yang pertama di Malaysia.


"Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, pendapatan terkumpul RM272.9 juta, naik 17.5% tahun ke tahun (YoY), manakala untung bersih meningkat 24.5% kepada RM148.2 juta," katanya.


Axis-REIT mencadangkan agihan pendapatan interim ketiga sebanyak 2.65 sen seunit (DPU) bagi 3QFY2025, bersamaan kira-kira 99% daripada pendapatan direalisasi operasi kumpulan berkenaan.


Kata kumpulan tersebut, agihan berkenaan terdiri daripada 0.17 sen bahagian tidak bercukai hasil keuntungan bebas cukai serta sebahagian daripada keuntungan pelupusan hartanah The Annex.


Perkembangan positif itu, menjadikan jumlah agihan pendapatan tahun setakat ini (YTD DPU) kepada sebanyak 7.80 sen, iaitu kenaikan sebanyak 13% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.


Lembaga Pengarah Axis REIT turut mengesahkan Pelan Pelaburan Semula Agihan Pendapatan (IDRP) akan terpakai untuk agihan interim ketiga 2025, membolehkan pemegang unit melabur semula pendapatan.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Berhad, Leong Kit May berkata, peningkatan mencerminkan kekuatan asas portfolio industri serta strategi pelaburan.


“Kami berasa amat berpuas hati dengan pencapaian ini, yang menunjukkan tahap daya tahan portfolio kumpulan lebih berfokus kepada industri dan kejayaan strategi kami sendiri," kata beliau.


Peningkatan ketara pendapatan bersih tambah beliau, turut didorong oleh semakan sewa positif, kadar pengekalan penyewa yang tinggi dan sumbangan daripada penyewaan baharu.


Kit May menambah, pengambilalihan hartanah baharu di Telok Gong dan Pelabuhan Klang akan terus memperkukuh kehadiran Axis-REIT dalam koridor logistik dan industri utama negara.


Keadaan berkenaan jelas beliau, turut menambah aset berkualiti tinggi yang bakal menyokong pertumbuhan pendapatan jangka panjang dan kepelbagaian portfolio.


“Dengan kedudukan kewangan yang kukuh serta pendekatan pelaburan berhemah, kami yakin Axis-REIT berada pada posisi baik untuk terus memanfaatkan pertumbuhan sektor industri,” ujarnya.


Setakat 30 September 2025, Axis-REIT memiliki 68 hartanah dengan kadar penghunian portfolio 97% dan tempoh pajakan purata berwajaran selama tempoh 4.5 tahun. - DagangNews.com