KUALA LUMPUR 16 Okt - Keuntungan Frontken Corp Berhad pada suku ketiga dijangka mencecah antara RM55 juta hingga RM60 juta didorong peningkatan permintaan cip dua nanometer (2nm) daripada pelanggan utamanya di Taiwan.
Apex Securities berkata, kumpulan yang menyediakan perkhidmatan pembersihan peralatan berketepatan tinggi untuk industri semikonduktor itu bakal menerima peningkatan pesanan daripada pelanggan yang berpangkalan di Taiwan bersedia memulakan pengeluaran besar-besaran cip 2nm dengan kapasiti yang ditempah sepenuhnya sehingga tahun 2026.
“Frekuensi dan kerumitan proses pembersihan komponen dijangka meningkat seiring sensitiviti yang lebih tinggi terhadap pencemaran pada teknologi cip generasi baharu,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, secara kumulatif, keuntungan bersih bagi tempoh Januari hingga September 2025 dijangka meningkat sehingga 51% kepada antara RM138 juta hingga RM143 juta.
Katanya, peningkatan prestasi itu turut diterjemahkan ke pasaran saham — apabila saham Frontken meningkat 16 sen atau 3.5% kepada RM4.72, paras tertinggi sejak penyenaraian pada tahun 2006.
Sejak April lalu, harga sahamnya telah melonjak 75%, menambah lebih RM3 bilion kepada nilai pasaran syarikat.
Apex Securities berkata, permintaan kukuh itu memberi kelebihan kepada Frontken menetukan harga kerana pelanggan kini memerlukan teknik pembersihan yang lebih kompleks dan canggih bagi memastikan tahap ketulenan maksimum untuk cip berteknologi tinggi — faktor yang dijangka menyokong pengembangan margin kumpulan pada suku akan datang.
Selain itu, pengembangan operasi pelanggan di Amerika Syarikat turut membuka satu lagi peluang pertumbuhan besar buat Frontken.
Ketika ini, pelanggan berkenaan masih menghantar sebahagian komponen ke kemudahan di Taiwan untuk diservis, namun Frontken kini sedang meneroka perkongsian strategik di AS bagi menyokong operasi tersebut — sambil kekal terbuka untuk pengembangan baharu sekiranya jumlah permintaan cukup besar untuk pelaburan jangka panjang.
Penganalisis pasaran turut kekal optimis terhadap prospek Frontken, dengan 11 saranan “beli” dan tiada saranan “jual” atau “pegang”. - DagangNews.com








