KUALA LUMPUR 5 Mac — Keuntungan teras Coastal Contracts Berhad bagi tahun kewangan 2025 lebih rendah daripada jangkaan berikutan kadar penggunaan kapal yang lemah, khususnya melibatkan TC7.
TA Securities berkata, ini belum termasuk kerugian luar biasa seperti kemerosotan nilai penghutang berjumlah RM41.3 juta dan beberapa item sekali sahaja, dengan keuntungan bersih teras RM55.9 juta.
Prestasi ini mewakili kira-kira 70% daripada unjuran penuh tahun firma itu, terutamanya disebabkan ketiadaan sumbangan daripada segmen penyewaan kapal susulan kadar penggunaan TC7 yang rendah.
"Segmen pemprosesan gas pula mencatat kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM7.9 juta berbanding keuntungan sebelum cukai RM9.5 juta pada suku sebelumnya," katanya dalam nota analisis hari ini.
Keadaan tersebut jelas TA Securities, sebahagian besarnya akibat kos operasi Coastal Contracts yang tidak berulang berkaitan dengan unit perkhidmatan pemampatan gas secara 'jack-up', Agosto12.
Dalam pada itu tambah firma penyelidikan berkenaan, segmen penyewaan kapal kumpulan menyaksikan hasil merosot 95.5% secara suku ke suku (QoQ) disebabkan kadar penggunaan kapal yang lebih rendah.

Situasi tersebut ujarnya, menyebabkan segmen berkenaan merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM48.5 juta pada suku keempat 2025 berbanding keuntungan RM6.5 juta dicatatkan suku ketiga 2025.
"Segmen pembinaan dan pembaikan kapal namun positif apabila pendapatan naik kepada RM5.2 juta berbanding RM0.5 juta sebelumnya, dipacu penyiapan beberapa kontrak pembaikan kapal," katanya.
Perkembangan itu jelas TA Securities membolehkan Coastal Contracts mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM2.7 juta untuk segmen itu berbanding kerugian RM1.3 juta pada suku sebelumnya.
Sementara itu, bahagian lain yang melibatkan aktiviti operasi bukan teras mencatat LBT RM19.1 juta berbanding PBT RM7.1 juta sebelum ini, disebabkan kerugian pertukaran asing tidak direalisasi.
Bagaimanapun firma itu mengekalkan unjuran hasil buat masa ini bagi menunggu penjelasan lanjut mengenai kemungkinan lanjutan kontrak sewaan TC7 yang dibincangkan dalam taklimat berikutnya.
"Dari segi kewangan, Coastal Contracts ada kedudukan tunai kukuh RM858 juta susulan daripada usaha sama di Mexico, serta penjualan dua buah kapal sokongan luar pesisir (OSV)," kata TA Securities.

Sebahagian besar dana tersebut kini ditempatkan dalam pelaburan jangka pendek seperti dana pasaran wang, sekali gus memberi fleksibiliti kepada syarikat untuk meneroka peluang pertumbuhan baharu.
Dalam perkembangan lain, kapal TC7 kini beroperasi di bawah kontrak sewaan selama 88 hari bermula 10 Disember 2025 selepas kontrak sebelumnya tidak dilanjutkan susulan isu pemeriksaan teknikal.
TA Securities berkata bahagian pembinaan kapal dijangka berkembang disokong oleh buku tempahan tiga kapal sokongan utiliti sedang dibina dengan dua dijadualkan siap pada separuh kedua 2025.
"Selain itu, Coastal Conracts ada tiga kapal OSV berteknologi tinggi dalam perancangan dengan penghantaran dijangka antara separuh pertama 2026 hingga separuh pertama 2027," jelas firma itu.
Kumpulan itu juga sedang berbincang dengan beberapa pengendali hotel mewah bagi menguruskan resortnya di Pulau Mabul dengan kos pelaburan fasa pertama dianggarkan sekitar RM85 juta.
Justeru, TA Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat ini dengan harga sasaran (TP) tidak berubah iaitu RM2.21 sesaham berdasarkan penilaian jumlah bahagian. - DagangNews.com








