KUALA LUMPUR 27 Jan - Saigon Jim Brother’s Corporation (EVM), Solarvest (Vietnam) Company Limited dan Power Engineering Consulting Joint Stock Company 2 (PECC2) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memajukan penggunaan rumusan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Vietnam.
Kerjasama itu akan menyaksikan pihak-pihak terlibat memanfaatkan Mekanisme Perjanjian Pembelian Tenaga Langsung (DPPA) melalui Grid Nasional untuk membekalkan sejumlah besar tenaga hijau yang dihasilkan oleh Solarvest dan PECC2 kepada operasi EVM di Vietnam, sekali gus menyumbang kepada projek tenaga lestari dan memacu peralihan tenaga bersih di Vietnam.
Kerajaan Vietnam mengeluarkan Perintah 80/2024/ND-CP pada 3 Julai 2024, yang mengatur mekanisme perjanjian pembelian tenaga langsung (DPPA) di antara pengeluar RE dan pengguna tenaga besar.
Antara dua jenis DPPA yang digariskan dalam perintah tersebut, DPPA melalui grid nasional, yang juga dikenali sebagai DPPA maya, adalah kemudahan yang dipilih oleh pihak-pihak dalam MoU berkenaan.
Ia membolehkan EVM, yang mempunyai keperluan tenaga boleh diperbaharui yang besar, untuk mengakses sumber penjanaan tenaga boleh diperbaharui berskala utiliti, iaitu projek ladang solar, dengan pembelian elektrik dilakukan melalui grid nasional.
EVM, Solarvest dan PECC2 menyedari bahawa Mekanisme DPPA menawarkan peluang unik untuk mengatasi halangan dalam penerimaan tenaga boleh diperbaharui, termasuk cabaran kebolehcapaian, peraturan, kewangan dan teknikal.
Dengan menyatukan kepakaran mereka, pihak-pihak tersebut mahu mempercepatkan penerimaan rumusan tenaga boleh diperbaharui dan mempercepatkan penyertaan dalam Mekanisme DPPA untuk projek tenaga solar.
Naib Presiden Kanan Jualan, Aset & Pemasaran Solarvest, Jack Tan Qi Jie, menekankan kepentingan perkongsian dalam mencapai kelestarian dengan menyatakan ia lebih daripada sekadar kerjasama.
"Perkongsian antara EVM, Solarvest dan PECC2 adalah penyelarasan strategik kepakaran. Bersama-sama, kami menangani satu antara cabaran paling kritikal yang dihadapi perniagaan hari ini iaitu peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dengan cara yang ekonomi dan berkesan dari segi operasi.
"Solarvest membawa pengalaman bertahun-tahun dalam pembangunan tenaga bersih, dengan lebih daripada 1,300MW projek tenaga boleh diperbaharui di seluruh Asia-Pasifik. Dengan menggabungkan model kewangan yang terbukti dengan kepakaran teknikal PECC2 dan daya inovatif EVM, kami mencipta rumusan yang disesuaikan yang membolehkan perniagaan mencapai matlamat kelestarian mereka tanpa mengorbankan keuntungan," katanya dalam satu kenyataan.
Pengurus Kanan CSR EVM, Emil Lin berkata, sebagai syarikat pembuatan kasut di Vietnam untuk jenama antarabangsa terkemuka, kelestarian adalah teras operasi syarikatnya.
"Kerjasama dengan Solarvest dan PECC2 ini menandakan langkah penting dalam perjalanan untuk mencapai sasaran kelestarian kami. Dengan menyepadukan tenaga boleh diperbaharui ke dalam proses pengeluaran kami, kami bukan sahaja mengurangkan jejak karbon.
"Kerjasama ini menunjukkan komitmen kami terhadap inovasi dan penjagaan alam sekitar dalam usaha menjadi perintis kelestarian di industri pembuatan," ujarnya.
Ketua Pegawai Operasi PECC2, Nguyen Hai Phu pula berkata, kerjasama dengan Solarvest dan EVM mewakili satu langkah penting yang membolehkan PECC2 menyediakan elektrik hijau berskala besar untuk operasi EVM di Vietnam.
"Perkongsian ini menunjukkan visi bersama untuk mengatasi cabaran dalam penerimaan tenaga boleh diperbaharui.
"Dengan menggabungkan kepakaran kami, kami mahu menangani isu kebolehcapaian, peraturan, kewangan dan teknikal, sekali gus mempermudah pelaksanaan rumusan tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan penyertaan dalam mekanisme DPPA untuk projek tenaga boleh diperbaharui," jelasnya. - DagangNews.com








