KUALA LUMPUR 17 Sept – MCE Holdings Berhad melangkah jauh dalam arena teknologi automotif moden melalui kerjasama strategik dengan Huizhou Foryou General Electronics Co Ltd (ADAYO) dari China.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), ia membuka fokus kepada usaha pembangunan rumusan sistem kokpit pintar secara khusus untuk memenuhi pengeluar kenderaan tempatan di Malaysia.
Kerjasama yang dimeterai pada 12 September 2025 ini meletakkan MCE di barisan hadapan teknologi automotif generasi baharu, dengan ADAYO pula menyediakan kepakaran teknikal negara tersebut.
"Kami difahamkan yang MCE akan bertanggungjawab dalam menguruskan pembuatan dan pengedaran tempatan sebelum ke pasaran ASEAN,” kata firma penyelidikan tersebut dalam nota kajiannya.
Berdasarkan perkembangan positif itu, HLIB mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM2.40, berdasarkan 15 kali unjuran perolehan sesaham pada FY27.
Di bawah kerjasama terbaharu itu, ADAYO, sebuah syarikat terkemuka China dalam pembangunan kokpit dan rumusan pemanduan pintar menyediakan platform teknologi serta sokongan teknikal.
Sementara MCE akan berperanan ke atas penempatan produk, pembuatan di Malaysia, serta pembekalan kepada pengeluar tempatan dan serantau yang berpotensi luas menjana keuntungan.
"Kami berpandangan langkah ini akan mempercepatkan peralihan MCE ke dalam sektor elektronik automotif yang bernilai tinggi, sekali gus melengkapkan portfolio syarikat sendiri," kata HLIB.
Artikel berkaitan: MCE, ADAYO bangunkan rumusan pemanduan pintar bagi Malaysia dan ASEAN
Gabungan pelbagai rumusan produk pintar dihasilkan itu tambah firma berkenaan, adalah teras kepada reka bentuk model kenderaan masa depan yang berasaskan kepada perisian dan automasi.
Langkah ini juga katanya, sejajar dengan dasar automotif nasional yang menekankan rantaian bekalan, penerapan teknologi baharu dan peralihan kepada industri kenderaan elektrik (EV).
Dengan permintaan asas yang konsisten daripada Proton dan Perodua, serta peluasan ke dalam produk berasaskan teknologi tinggi dan pasaran eksport, MCE dilihat dalam situasi terbaik.
"Kami jangka ia mampu mengekalkan pertumbuhan jangka panjang selain usaha kerajaan untuk mengukuhkan hubungan dagang dengan China memberi kelebihan strategik kepada MCE," katanya.
Di samping itu, HLIB berpendapat, syarikat tersebut berada pada posisi unik sebagai proksi berdaya tahan kepada transformasi sektor automotif Malaysia dan rantau ini yang pesat.
Bagaimanapun, firma itu mengekalkan unjuran kewangan sedia ada buat masa ini, sambil menyatakan impak positif daripada kerjasama ini akan terserlah dalam tempoh sederhana.
Kerjasama strategik dengan ADAYO bukan sahaja memperkukuh kedudukan MCE dalam ekosistem teknologi automotif serantau, malah membuka laluan kepada penghasilan produk pintar global.
"Dengan peranan masing-masing yang saling melengkapi, MCE kini berada di landasan kukuh menjadi antara pemain utama dalam revolusi digital automotif Asia Tenggara," kata HLIB. - DagangNews.com








