KUALA LUMPUR 12 Sept - MCE Holdings Berhad memeterai kerjasama strategik dengan Huizhou Foryou General Electronics Co Ltd (ADAYO) bagi membangunkan rumusan kokpit dan pemanduan pintar bagi pengeluar automotif di Malaysia serta ASEAN.
Selaras dengan strategi MCE meningkatkan kedudukannya dalam rantaian nilai, kerjasama itu mengukuhkan kedudukan MCE dalam bidang kokpit pintar, iaitu sistem teras dalam kabin kenderaan generasi baharu, merangkumi infotainmen dalam kenderaan, pengawal domain kokpit dan sistem kenderaan berhubung (connected-vehicle systems).
Menerusi kerjasama itu, MCE akan mengeluarkan dan membekalkan produk tersebut di Malaysia dan seluruh ASEAN, manakala ADAYO akan menyediakan platform teknologi, pembangunan produk dan sokongan teknikal, dengan tumpuan awal kepada program untuk pengeluar automotif di Malaysia dan ASEAN.
Fasa awal kerjasama termasuk meneroka sistem kokpit pintar dan infotainmen untuk program terpilih di Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr Goh Kar Chun berkata, kerjasama itu mempercepatkan usaha MCE untuk meluaskan portfolionya dalam rumusan berteknologi tinggi bagi kenderaan generasi baharu, bermula daripada penyelidikan dan pembangunan sehingga ke pembuatan berskala besar.
“Ia juga mengiktiraf operasi dan kepakaran pembuatan MCE, disiplin kualiti serta rekod prestasi yang terbukti, membolehkan kami menyokong pengeluar automotif tempatan dengan lebih baik sambil memperkasakan asas pembekal tempatan serta bakat bagi menyokong aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab automotif di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com








