Kerajaan digesa campur tangan isu tawaran cuti tanpa gaji untuk 3,500 pekerja Batik Air | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan digesa campur tangan isu tawaran cuti tanpa gaji untuk 3,500 pekerja Batik Air

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 April – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) menggesa kerajaan supaya meneliti keputusan Batik Air Malaysia yang mengurangkan jadual penerbangan serta menawarkan cuti tanpa gaji secara sukarela kepada 3,500 kakitangannya.

 

NUFAM berkata langkah itu dibuat susulan pengurangan kekerapan penerbangan sebanyak 35 peratus pada April ekoran peningkatan kos bahan api jet yang berkait rapat dengan ketegangan di Timur Tengah.

 

“Pihak NUFAM membantah keras pelaksanaan cuti tanpa gaji tersebut kerana berisiko menjejaskan pendapatan dan kebajikan kakitangan.

 

 

 

 

 

 

 

“Sehubungan itu, NUFAM menggesa Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dan Menteri Sumber Manusia, R Ramanan agar memantau situasi tersebut dengan teliti,” kata kesatuan itu dalam satu kenyataan.

 

Tambah NUFAM, kerajaan tidak seharusnya membenarkan syarikat penerbangan atau mana-mana majikan mengurangkan pendapatan pekerja secara sewenang-wenangnya setiap kali kos bahan api meningkat.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Batik Air Malaysia sah kurangkan 35% penerbangan, tangani lonjakan kos bahan api

 

Menurut kesatuan itu lagi, walaupun cuti tanpa gaji tersebut dilaksanakan secara sukarela, terdapat kebimbangan kemungkinan kakitangan berdepan tekanan untuk menyertainya demi menyokong kelangsungan syarikat.

 

“Sebarang bentuk paksaan atau diskriminasi terhadap pekerja yang enggan mengambil cuti tanpa gaji adalah tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

 

Dalam pada itu, kesatuan tersebut turut mempersoalkan strategi pengurusan risiko syarikat berikutan tiada langkah lindung nilai bahan api atau fuel hedging bagi mengurangkan kesan turun naik harga minyak global.

 

 

 

 

 

 

 

 

Menurutnya, kegagalan mengambil langkah pencegahan sedemikian tidak sepatutnya membawa kepada tindakan yang menjejaskan sumber pendapatan pekerja.

 

Sebaliknya, NUFAM menegaskan syarikat perlu meneroka langkah penjimatan kos lain yang tidak melibatkan pemotongan gaji asas atau menjejaskan kestabilan kewangan kakitangan, ketika harga purata bahan api jet global dilaporkan meningkat ketara kebelakangan ini. - DagangNews.com