KUALA LUMPUR 2 April - Batik Air Malaysia akan mengurangkan kira-kira 35% jadual penerbangannya bagi separuh pertama April sebagai langkah menampan kesan lonjakan kos bahan api susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, langkah itu merupakan pendekatan berhati-hati untuk mengurus sumber ketika harga bahan api jet meningkat mendadak ke paras tertinggi.
Menurut beliau, pengurangan kapasiti itu akan dilaksanakan sehingga 12 April sebelum syarikat membuat penilaian semula berdasarkan keadaan pasaran semasa.
“Pendekatan kami adalah untuk mengurangkan kekerapan penerbangan, bukannya menamatkan destinasi. Ini bagi memastikan impak kepada operasi dan penumpang adalah minimum,” katanya dalam temubual bersama The Edge.
Sebagai contoh, laluan Kuala Lumpur–Pulau Pinang akan dikurangkan daripada lima kepada dua penerbangan sehari, manakala Kuala Lumpur–Kota Kinabalu daripada tiga kepada dua penerbangan harian.
Pengurangan turut melibatkan laluan jarak jauh seperti Kuala Lumpur–Kathmandu dan Kuala Lumpur–Perth, sejajar usaha mengurangkan penggunaan bahan api.
Dalam masa sama, Batik Air Malaysia akan menawarkan cuti tanpa gaji secara sukarela kepada kira-kira 3,500 kakitangannya, dengan permohonan dibuka sehingga 3 April bagi tempoh cuti bermula 6 April.
Langkah penjimatan turut merangkumi pembekuan perjalanan kakitangan yang tidak kritikal serta penangguhan program latihan yang tidak melibatkan keperluan keselamatan atau pematuhan peraturan.
Lonjakan harga bahan api jet global yang meningkat lebih 100% sejak akhir Februari telah memberi tekanan besar kepada kos operasi industri penerbangan, dengan bahan api kini menyumbang sekitar 50% hingga 55% daripada kos operasi syarikat berbanding 30% hingga 35% sebelum ini.
Sehubungan itu, syarikat turut melaksanakan surcaj bahan api yang lebih tinggi, namun langkah tersebut masih belum mencukupi untuk mengimbangi peningkatan kos.
Chandran berkata, walaupun berdepan tekanan kos, syarikat tidak bercadang melaksanakan strategi lindung nilai bahan api kerana risiko kerugian sekiranya harga pasaran jatuh di bawah paras kontrak.
“Kami mengambil pendekatan berhati-hati berdasarkan pengalaman industri yang pernah mengalami kerugian besar akibat lindung nilai,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beberapa pelancaran laluan baharu mungkin ditangguhkan, namun syarikat masih mengekalkan pelan pengembangan termasuk penerbangan Kuala Lumpur–Shanghai yang dijadual bermula Jun ini.
Batik Air Malaysia kini mengendalikan kira-kira 1,400 penerbangan mingguan ke lebih 60 destinasi di 21 negara, dengan armada terdiri daripada pesawat Airbus A330-300 serta Boeing 737-8 dan 737-800.
Menurut Chandran, syarikat kekal kukuh dari segi kewangan dan akan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan kelangsungan operasi dalam persekitaran yang mencabar.
“Ini adalah pelarasan sementara. Apa yang penting ialah memastikan kami bersedia menghadapi sebarang ketidaktentuan pada masa hadapan,” katanya. - DagangNews.com








