KUALA LUMPUR 27 Jan - Kenanga Research menyemak turun anggaran untung bersih HPP Holdings Bhd sebanyak 59% bagi FY25 selepas kumpulan itu mencatatkan keputusan 1HFY25 yang mengecewakan kesan daripada permintaan sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang lemah selain pemulihan tidak sekata.
Katanya, kumpulan itu mencatatkan untung bersih teras sebanyak RM1.6 juta 1HFY25, jatuh masing-masing sebanyak 19% dan 23% daripada ramalan tahun penuh serta anggaran konsensus tahun penuh.
Firma penyelidikan itu berkata, varians terhadap ramalan itu sebahagian besarnya datang daripada jualan dan margin yang lebih rendah daripada jangkaan.
"Hasil 1HFY25 merosot sebanyak 14% disebabkan permintaan yang berkurangan daripada sektor E&E.
"Akibatnya, keuntungan bersih terasnya menjunam lebih curam sebanyak 33%, diburukkan lagi oleh kos pengeluaran tetap yang berterusan walaupun jumlah jualan yang lebih rendah," katanya dalam satu nota kajian.
Kenanga Research berkata, kumpulan itu bagaimanapun tidak kekurangan pemacu pendapatan kerana secara amnya produk kerta yang lebih tinggi di peringkat global seharusnya membantu menaikkan purata harga jualan (ASP).
Katanya, pengenalan produk pembungkusan acuan pulpa kertas kitar semula dengan margin tinggi baharunya juga akan menjadi pemacu selain peningkata pesanan, terutamanya daripada pelanggan dalam E&E dan pelancaran produk baharu.
Firma penyelidikan itu menyukai kumpulan itu kerana pensijilan G7 Master Colourspace yang diiktiraf di peringkat global yang membolehkannya mengukuhkan kedudukan dalam rantaian bekalan syarikat multinasional (MNC) dan asas pelanggan yang kukuh.
Produk pembungkusan acuan pulpa kertas kitar semula baharunya menjadi pengganti kepada produk pembungkusan Styrofoam dan mematuhi piawaian alam sekitar Kesatuan Eropah (EU).
"Kami mengekalkan saranan "underperform" dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu 27 sen berbanding 39 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com








