Kemenangan AWC dalam kes timbang tara beri peningkatan sementara hasil FY26, kata Malacca Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kemenangan AWC dalam kes timbang tara beri peningkatan sementara hasil FY26, kata Malacca Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 NovAWC Berhad dijangka menerima suntikan kewangan selepas anak syarikatnya, Trackwork & Supplies Sdn Bhd, memenangi kes di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).


Menurut Malacca Securities, kejayaan berkenaan melibatkan pertikaian dengan Emrail Sdn Bhd berhubung isu bayaran tertunggak bagi pembekalan bahan serta kerugian dan kos berkaitan.


Jelasnya, keputusan timbang tara itu menyaksikan Trackwork bakal menerima RM2.16 juta, dan faedah 5% setahun bermula 15 September 2021 hingga penyelesaian penuh, dan kos sebanyak RM303,920. 


"Kami difahamkan yang Emrail turut diarahkan AIAC menanggung kos pentadbiran timbang tara, serta menamatkan pertikaian jangka panjang antara kedua-dua pihak," kata firma tersebut dalam notanya.



Artikel berkaitan: AWC menang timbang, tara anak syarikat peroleh RM2.16 juta daripada Emrail
 

Selain itu, keputusan ini dilihat positif terhadap AWC, memandangkan bayaran diterima tersebut meningkatkan kedudukan tunai dan memberi lonjakan sekali sahaja kepada pendapatan akan datang.


Bagaimanapun, Malacca Securities menegaskan yang hasil daripada keuntungan berkenaan sebenarnya bukan bersifat berulang lagi selepas ini dan tidak mengubah unjuran asas kumpulan tersebut. 


Walaupun jumlah timbang tara ini dijangka menyumbang kira-kira RM2.98 juta di bawah segmen pendapatan lain, firma itu mengekalkan unjuran keuntungan bersih teras FY26 kepada RM27.1 juta.


"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham AWC dengan harga sasaran 66 sen, berdasarkan perolehan sesaham FY27 terlaras sebanyak 6.58 sen," katanya. - DagangNews.com