AWC menang timbang tara, anak syarikat peroleh RM2.16 juta daripada Emrail | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AWC menang timbang tara, anak syarikat peroleh RM2.16 juta daripada Emrail

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 6 NovAWC Berhad memaklumkan pihak penimbang tara telah memutuskan kemenangan berpihak kepada anak syarikatnya, Trackwork & Supplies Sdn Bhd, dalam pertikaian berhubung tunggakan bayaran bekalan bahan bernilai RM2.16 juta daripada Emrail Sdn Bhd.

 


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) telah mengarahkan Emrail untuk membayar jumlah berkenaan kepada Trackwork bersama faedah 5% setahun bermula 15 September 2021 sehingga penyelesaian penuh.

 


Selain itu, Trackwork turut dianugerahkan kos timbang tara sebanyak RM303,920, manakala kos pentadbiran timbang tara ditanggung sepenuhnya oleh Emrail.

 

 

 

 

 

 


“Tribunal timbang tara turut menolak bantahan awal Emrail mengenai bidang kuasa dan mengesahkan semula anugerah interim terdahulu, sekali gus menamatkan pertikaian lama ini memihak kepada Trackwork,” kata AWC dalam kenyataan.

 


Pertikaian tersebut berpunca daripada kontrak pembekalan bahan oleh Trackwork kepada Emrail untuk projek yang tidak didedahkan, di mana syarikat itu menuntut bayaran tertunggak RM2.16 juta berserta kerugian dan kos berkaitan.

 

 

 


Sebelum ini, pada Ogos 2024, penimbang tara telah menolak bantahan awal Emrail bahawa syarat prasyarat timbang tara belum dipenuhi dan Mahkamah Tinggi pada Mac 2025 turut menolak rayuan Emrail terhadap keputusan interim tersebut.

 


Sementara itu, saham AWC ditutup menyusut 0.5 sen atau 0.69% kepada 71.5 sen pada penutupan dagangan Rabu, menjadikan nilai pasaran kumpulan sekitar RM246 juta. - DagangNews.com