Kelulusan majoriti pemegang saham IJM jadi penentu kejayaan tawaran pengambilalihan, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelulusan majoriti pemegang saham IJM jadi penentu kejayaan tawaran pengambilalihan, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Jan – Kejayaan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat (VTO) oleh Sunway Berhad ke atas IJM Corporation Berhad masih bergantung kepada pendirian majoriti pemegang sahamnya.


Menurut Public Investment Bank, langkah itu perlu kerana pelabur institusi Bumiputera dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), secara kolektif menguasai lebih separuh pegangan saham IJM sendiri.


Justeru, tanpa sokongan kumpulan pemegang saham utama ini, Sunway berdepan kesukaran mencapai tahap penerimaan melebihi 50% yang diperlukan bagi menjadikan tawaran itu tidak bersyarat.

 

"Sunway menawarkan pengambilalihan penuh IJM bernilai RM11.04 bilion, melalui gabungan 10% tunai dan 90% saham baharu pada harga RM5.65, tanpa bercadang mengekalkan status penyenaraian IJM," katanya.

 

Sementara itu, MBSB Research menyarankan pemegang saham IJM menerima tawaran, walaupun menyifatkan harga ditawarkan kepada mereka sebanyak RM3.15 sesaham dinilai tidak begitu menarik.

 

"Sehubungan itu, kami menurunkan nilai saksama IJM kepada RM3.29 daripada RM3.60, selepas menukar kaedah penilaian bagi mencerminkan kepelbagaian perniagaan kumpulan," jelas firma berkenaan lagi.

 

Artikel berkaitan: Sunway rancang ambil alih IJM Sorp dalam urus niaga tunai dan saham bernilai RM11 bilion

 

Jelasnya, tawaran tersebut mewakili premium 14.5% berbanding harga penutupan sebelum itu dan menilai potensi saham IJM dengan nisbah harga kepada pendapatan (PE) hadapan sebanyak 21.1 kali.

 

Unjuran berkenaan kata MBSB Research, sejajar dengan purata lima tahun, dan harga tawaran itu juga hampir menyamai aste ketara bersih (NTA) IJM sebanyak RM3.17 sesaham, yang menjadikannya adil.


Dalam pada itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas IJM dan menurunkan harga sasaran kepada RM3.15 berbanding RM3.43, yang selari dengan harga tawaran dikemukakan oleh Sunway.


"Kami berpandangan penilaian tawaran adalah menarik, dengan implikasi PE FY26 sebanyak 22.8 kali, yang lebih tinggi berbanding purata sejarah lima tahun IJM sekitar 15.6 kali," kata firma tersebut.


Selain itu, ia turut menekankan potensi sinergi daripada penggabungan berkenaan, termasuk skala perniagaan yang lebih besar dengan hasil pro-forma selepas ini mampu mencecah RM17.1 billion.


RHB Research turut merujuk keupayaan Sunway dalam memaksimumkan nilai bank tanah dan menyelaras operasi pembinaan melalui Sunway Construction, yang akan memberi banyak manfaat kepada IJM.


Bagaimanapun, ia mengingatkan risiko utama tawaran adalah kemungkinan pemegang saham IJM mengharapkan nisbah tunai yang lebih tinggi, sehingga boleh menjejaskan tahap penerimaan mereka.


"Secara keseluruhan, walaupun kejayaan tawaran Sunway bergantung kepada sokongan pemegang saham institusi utama, kami berpandangan VTO adalah munasabah dan wajar dipertimbangkan," jelasnya.


Situasi berkenaan tambah RHB Research, khususnya bagi pelabur yang ingin terus mendapat pendedahan kepada potensi pertumbuhan kumpulan Sunway setelah berlaku penggabungan. - DagangNews.com